Neymar mengalami satu lagi masalah kecederaan ketika bersama Santos hanya beberapa hari selepas dinamakan dalam skuad kebangsaan Brazil untuk menghadapi Piala Dunia 2026.
Pemain sensasi Brazil itu disahkan mengalami kecederaan betis, sekali gus mencetuskan kebimbangan segera mengenai tahap kecergasannya menjelang kejohanan di Amerika Utara itu.
Menurut sumber laporan Goal, Santos mengesahkan Neymar mengalami kecederaan kecil pada bahagian betis selepas ujian perubatan mendapati terdapat edema (bengkak bengkak yang disebabkan oleh cecair berlebihan yang terperangkap dalam tisu badan) berukuran dua milimeter pada betis kanan pemain itu.
Malang Menimpa Neymar
Situasi itu hadir pada waktu yang kurang sesuai buat pemain berusia 34 tahun itu, yang baru sahaja kembali menyertai skuad Brazil selepas menjalani tempoh pemulihan panjang susulan kecederaan lutut serius yang dialaminya pada tahun 2023.
Santos sudah pun kehilangan Neymar dalam aksi Copa Sudamericana menentang San Lorenzo de Almagro, dan pemain itu juga dijangka terlepas perlawanan liga akan datang menentang Gremio.
Seperti dilaporkan, pemain lincah itu kini sedang berlumba dengan masa untuk pulih sebelum melaporkan diri bersama skuad Brazil pada 27 Mei. Pihak Santos serta Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) dilaporkan sedang memantau rapat perkembangan kecederaannya.
Dalam perkembangan sama ketua pasukan perubatan Santos, Rodrigo Zogaib mengakui bahawa kecederaan yang dialami Neymar tidak terlalu serius dan beliau yakin pemain tersebut tidak berdepan masalah untuk bersama skuad kebangsaan Brazil.