PETRONAS telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengesahkan satu insiden yang melibatkan empat orang pekerja kontrak di kemudahan Floating Storage and Offloading (FSO) Sepat, yang terletak di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan PETRONAS, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 12.50 tengah hari semasa kerja-kerja penyelenggaraan bot penyelamat (lifeboat) sedang dijalankan, petik Berita Harian.
Syarikat tersebut mengesahkan bahawa tiga daripada pekerja yang terlibat telah disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada jam 5.57 petang.
Sementara itu, seorang lagi kakitangan yang cedera telah dibawa keluar untuk rawatan perubatan dan masih berada di bawah pemerhatian.
Susulan daripada kejadian ini, PETRONAS merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan, serta rakan sekerja mangsa yang terkorban.
Siasatan terperinci mengenai punca insiden kini sedang giat dijalankan dengan penyelarasan pihak berkuasa yang berkaitan, dan keutamaan syarikat buat masa ini adalah untuk menyokong kesejahteraan mangsa dan waris yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, turut mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kronologi dan punca awal kemalangan tersebut.
Beliau menyatakan bahawa kejadian tercetus semasa kesemua mangsa dipercayai sedang menaiki sebuah bot penyelamat di atas platform untuk diturunkan ke laut bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform tersebut.
Kemalangan dipercayai berpunca daripada tali atau cangkuk yang dipasang pada bot berkenaan yang telah tercabut, lantas menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama dengan bot terbabit.
Pihak polis mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Mangsa keempat yang cedera parah pula dikenal pasti sebagai Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor, yang kini sedang menerima rawatan di HSNZ.