PETRONAS, syarikat minyak dan gas milik negara Malaysia, sekali lagi dinobatkan sebagai jenama minyak dan gas terkuat di dunia untuk tahun 2024.

Dengan markah Brand Strength Index (BSI) sebanyak 87.8, PETRONAS mengungguli senarai Top 10 Strongest Oil & Gas Brands 2024 yang diterbitkan oleh firma konsultan terkenal, Brand Finance.

Selain itu, PETRONAS juga mendapat pengiktirafan tinggi dengan menduduki tempat pertama sebagai jenama paling bernilai di rantau dengan mendahului dalam Nilai Persepsi Kelestarian (SPV) tertinggi.

Nilai jenama PETRONAS melonjak 15% untuk mencapai USD14.6 bilion, mengukuhkan peranannya sebagai tonggak utama landskap ekonomi ASEAN.

Brand Finance mendapati prestasi kewangan PETRONAS kekal teguh, didorong oleh peralihan strategik ke arah peningkatan aktiviti dagangan dalam minyak mentah dan petrokimia, yang telah menyumbang kepada peningkatan hasil yang ketara.

Di tempat kedua, jiran serantau Malaysia, Pertamina (Indonesia), berjaya meraih skor 84.4.

Prestasi ini membanggakan rakyat Indonesia yang memuji kemajuan syarikat mereka di media sosial.

Beberapa komen menyebut, “Best Pertamina ❤️,” sebagai tanda sokongan terhadap jenama nasional mereka.

Selain PETRONAS dan Pertamina, berikut adalah senarai penuh jenama minyak dan gas terkuat di dunia untuk tahun 2024 (Top 10 Strongest Oil & Gas Brands 2024):

PETRONAS (Malaysia) – 87.8
Pertamina (Indonesia) – 84.4
IndianOil (India) – 83.2
PTT (Thailand) – 82.4
ADNOC (UAE) – 80.2
HPCL (India) – 80.2
Bharat Petroleum (India) – 79.9
Sinopec (China) – 79.2
Reliance (India) – 78.7
Equinor (Norway) – 77.9

Satu soalan besar yang muncul di kalangan netizen adalah ketiadaan Saudi Aramco, gergasi minyak dari Arab Saudi, dalam senarai ini.

Komen seperti “Aramco takde?,” mencerminkan kekeliruan netizen yang menjangkakan kehadiran Aramco dalam senarai teratas.

Walaupun Aramco terkenal sebagai pengeluar minyak terbesar dunia, kedudukan jenama mereka mungkin tidak sekuat syarikat-syarikat lain dalam senarai ini, yang lebih memfokuskan pada jenama dan kekuatan pasaran global.