Jose Mourinho telah mencapai persetujuan untuk kembali ke Real Madrid dengan kontrak selama tiga tahun, namun perpindahan itu menjadi rumit susulan perkembangan kewangan yang besar.
Walaupun ‘The Special One’ dijangka memulakan semula tugas sensasi untuk penggal kedua di Bernabeu, masa untuk menyelesaikan perjanjian tersebut menyebabkan klausa pelepasannya meningkat lebih daripada dua kali ganda.
Malah, perpindahan pengurus veteran dari Portugal itu jugat tersekat buat sementara waktu akibat masalah pentadbiran.
Jose Mourinho, Real Madrid Perlu Menunggu
Menurut sumber laporan Goal, punca utama kelewatan itu ialah tercetusnya drama politik di Bernabeu, di mana Florentino Perez sedang berdepan pilihan raya presiden yang dicabar buat pertama kali dalam tempoh dua dekad.
Walaupun persetujuan lisan bagi kontrak selama tiga tahun dilaporkan sudah dicapai, Perez terpaksa memberi keutamaan kepada kempen beliau menentang pencabar, Enrique Riquelme.
Perebutan kuasa dalaman ini menghalang pemeteraian rasmi dokumen, menyebabkan Mourinho secara teknikalnya masih terikat dengan jawatannya ketika ini di Benfica sementara proses pengundian masih berlangsung.
Kelewatan ini terbukti menjadi sesuatu yang mahal buat Real Madrid. Tempoh khas yang membolehkan kelab gergasi Sepanyol itu mengaktifkan klausa pelepasan bernilai diskaun €7 juta ($7.7 juta) secara rasmi tamat pada Selasa, 26 Mei.
Akibatnya, mana-mana pihak yang berminat kini perlu membayar jumlah yang jauh lebih tinggi untuk membawa bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu keluar dari Lisbon.
Selepas tarikh akhir tersebut berlalu, klausa pelepasan Jose Mourinho di Benfica meningkat kepada €15 juta ($16.2 juta).
Perkembangan ini memberikan presiden Benfica, Rui Costa, kedudukan yang jauh lebih kukuh dalam rundingan kerana kelab Portugal itu kini boleh menuntut bayaran penuh atau memaksa Los Blancos memasuki rundingan terus yang lebih sukar untuk mencapai kompromi.