Nama Jose Mourinho kembali hangat diperkatakan apabila beberapa laporan dari Eropah mendakwa beliau semakin hampir untuk kembali mengendalikan Real Madrid, lebih sedekad selepas meninggalkan Santiago Bernabeu.

Jurulatih Portugal itu dikatakan menjadi antara calon utama yang sedang dipertimbangkan pihak pengurusan Los Blancos bagi mengetuai projek baharu kelab tersebut.

Mourinho bukan nama asing buat penyokong Real Madrid. Beliau pernah membimbing kelab gergasi Sepanyol itu dari tahun 2010 hingga 2013 dan meninggalkan impak besar sepanjang tempoh tersebut.

Di bawah kendaliannya, Madrid berjaya memenangi gelaran La Liga, Copa del Rey dan Supercopa Sepanyol, selain terkenal dengan pasukan yang mencatat rekod jaringan luar biasa ketika era tersebut yang bersaing dengan era emas Barcelona di bawah Pep Guardiola.

Walaupun tempohnya di Bernabéu dipenuhi pelbagai kontroversi dan persaingan sengit terutama menentang Barcelona kendalian Pep Guardiola, Mourinho tetap dikenang sebagai individu yang membantu membina semula mentaliti kemenangan Real Madrid pada waktu itu.

Kini, spekulasi mengenai kepulangannya mula mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak.

Laporan dari Portugal menyatakan bahawa Jose Mourinho bakal diumumkan sebagai pengurus Real Madrid seawal minggu hadapan.

Ada yang percaya pengalaman dan karakter Mourinho mampu mengembalikan identiti serta aura kompetitif Real Madrid, manakala ada juga yang tertanya-tanya sama ada pendekatan beliau masih sesuai dengan generasi pemain moden hari ini.

Lagipun hubungan rapatnya dengan Florentino Perez juga antara faktor penting. Di mana Perez menjadikan nama Mourinho sebagai antara misinya dalam usaha mengekalkan pengaruhnya di Real Madrid.

Jika perpindahan ini benar-benar menjadi kenyataan, dunia bola sepak mungkin bakal menyaksikan satu lagi episod menarik apabila “The Special One” kembali ke Santiago Bernabéu untuk babak kedua kariernya bersama Real Madrid.