Jika enam tahun lalu pengurusan tertinggi Ferrari menegaskan mereka tidak akan sesekali menghasilkan model elektrik sepenuhnya, hari ini sejarah membuktikan sebaliknya dengan kemunculan Ferrari Luce — model pertama kereta elektrik (EV) daripada Maranello, Itali.
Model EV itu dilancarkan di lokasi bersejarah, Vela di Calatrava, Rom. Di sinilah Ferrari memenangi perlumbaan pertamanya pada tahun 1947.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian bukanlah sejarahnya, tetapi rupa paras Luce yang nampak sangat clean dan futuristik—jauh berbeza dengan ‘bahasa’ reka bentuk Ferrari yang kita kenali sebelum ini.
Reka Bentuk Inovatif Oleh LoveFrom

Salah satu aspek yang paling menarik perhatian mengenai Ferrari Luce adalah bahasa reka bentuknya yang menyimpang daripada norma tradisi Ferrari.
Hal ini demikian kerana rekaan kenderaan ini telah diamanahkan kepada LoveFrom, sebuah kolektif pereka tersohor yang diketuai oleh Sir Jony Ive (bekas Ketua Pegawai Reka Bentuk Apple) dan Marc Newson.
Pendekatan LoveFrom membawa perspektif baharu yang lebih minimalis dan futuristik:
Keaslian Visual: Luaran jentera ini diserlahkan melalui bentuk cengkerang permukaan kaca yang unik, dipadankan dengan sayap aerodinamik hadapan dan belakang yang kelihatan seolah-olah terapung.
Seni Bina Praktikal: Luce mencatatkan sejarah sebagai model ‘Prancing Horse’ pertama yang menawarkan konfigurasi empat pintu dengan lima tempat duduk yang luas.
Dimensi Rim: Jentera ini dilengkapi dengan rim berbeza saiz yang terbesar bagi kategori pengeluaran jalanan Ferrari, iaitu 23 inci di hadapan dan 24 inci di belakang.
Prestasi dan Dinamik Pemanduan Bertaraf Dunia
Meskipun beralih kepada kuasa elektrik, Ferrari Luce tetap mengekalkan prestasi ekstrem.
Ia dikuasakan oleh empat enjin elektrik bebas yang dipasang pada setiap roda, menghasilkan kuasa maksimum mencecah 1,050 cv.
Model EV ini boleh memecut 0–100 km/j (2.5 saat), kelajuan tertinggi melebihi 310km/j, miliki kapasiti bateri 122 kWh (Teknologi 800 V), serta jarak pemanduan melebihi 530 km dengan sekali cas sahaja.
Dari sudut kecekapan, reka bentuk aerodinamik Luce berjaya mencatatkan drag terendah dalam sejarah Maranello.
Sistem Vehicle Control Unit (VCU) terbaharu dan suspensi aktif turut disertakan bagi memastikan cengkaman dan keselesaan yang optimum di pelbagai permukaan jalan.
Teknologi Kabin dan Inovasi Bunyi

Bahagian dalaman kabin merupakan gabungan harmoni antara elemen mekanikal jitu dan teknologi digital. Antara inovasi utama termasuklah:
Paparan OLED Samsung Display©: Skrin beresolusi tinggi yang dibangunkan secara eksklusif.
Kunci Teknologi ‘E Ink’: Penggunaan Corning® Gorilla® Glass pada kunci kenderaan buat pertama kalinya dalam industri automotif.
Sistem Audio Premium: Perisian Ferrari Audio Signature yang memacu 21 pembesar suara dengan output 3000 W.

Bagi menangani cabaran bunyi pada kenderaan elektrik, Ferrari memilih untuk tidak menggunakan bunyi tiruan.
Sebaliknya, bunyi fizikal daripada komponen berputar ditangkap menggunakan peranti pecutan (accelerometer) secara masa nyata, kemudian ditapis dan dikuatkan menerusi konsep penguat yang mirip dengan fungsi gitar elektrik bagi menghasilkan bunyi mekanikal yang tulen.
Komitmen Ferrari Luce Terhadap Kelestarian

Selaras dengan matlamat kelestarian global, casis dan kerangka Ferrari Luce menggunakan aloi aluminium sekunder kitar semula secara ekstensif.
Langkah ini berjaya mengurangkan pelepasan sisa Kesetaraan Karbon Dioksida sebanyak 70% semasa fasa pengeluaran.
Selain itu, integrasi bateri pada lantai casis telah meningkatkan tahap ketegaran sistem mekanikal sebanyak 25% bagi lenturan dan 35% bagi kilasan, sekali gus menyediakan ruang kabin yang lebih luas dan tegap
Ferrari Luce bukan sekadar sebuah kenderaan elektrik, tetapi merupakan simbol transformasi teknologi dan estetika yang bakal mencorakkan masa hadapan automotif mewah dunia.