Mahkamah Tinggi telah memerintahkan syarikat insurans, Pacific & Orient Insurance Co Bhd, untuk membayar RM1.245 juta kepada pemilik kereta mewah, Lai Leong Peng.
Perintah ini merangkumi jumlah penuh yang diinsuranskan berserta caj-caj berkaitan selepas kenderaan jenis Porsche 911 GT3 RS miliknya yang didaftarkan di Langkawi telah diisytiharkan sebagai ‘beyond economic repair’ (BER) berikutan satu kemalangan pada Oktober 2022.
Kereta tersebut diinsuranskan pada nilai RM1.225 juta, petik Free Malaysia Today.
Selepas kemalangan berlaku, pihak insurans pada mulanya menilai kenderaan itu sebagai BER dan menawarkan pampasan sebanyak RM1.225 juta selepas menolak ekses polisi.
Walau bagaimanapun, syarikat insurans tersebut kemudiannya meletakkan syarat yang mewajibkan plaintif membayar duti kastam terlebih dahulu sebelum wang pampasan dilepaskan.
Lai menolak syarat berkenaan dan memfailkan saman dengan hujahan bahawa tiada sebarang keperluan di bawah undang-undang mahupun polisi insurans yang memaksa beliau berbuat demikian.
Dalam penghakiman bertulis setebal sembilan muka surat, Hakim Leong Wai Hong memutuskan bahawa tuntutan syarikat insurans agar duti kastam dibayar sama sekali tidak terkandung dalam kontrak insurans.
Hakim menyifatkan syarat baharu yang dikenakan oleh pihak insurans itu sebagai ‘tersasar dan berniat jahat’ (misguided and in bad faith).
Mahkamah turut mendapati bahawa syarikat insurans sebenarnya telah menerima liabiliti sebaik sahaja mereka mengklasifikasikan kenderaan tersebut sebagai BER dan menawarkan penyelesaian.
Pihak insurans kemudiannya cuba mendakwa bahawa plaintif telah menggunakan alamat palsu di Langkawi serta berlakunya penyembunyian maklumat dan salah nyata.
Namun, Mahkamah menolak sepenuhnya dakwaan alamat palsu ini dengan menyatakan bahawa alamat itu wujud dan telah pun diterima oleh jabatan pengangkutan jalan dan juga kastam.
Malah, tiada sebarang siasatan atau pendakwaan yang pernah dimulakan ke atas plaintif.
Hakim Leong menegaskan bahawa pihak insurans tidak boleh menolak polisi atas alasan salah nyata pada peringkat akhir kerana mereka gagal membatalkannya mengikut lunas Seksyen 19 Akta Kontrak.
Perkara ini turut diakui oleh saksi pihak insurans sendiri yang mengesahkan bahawa polisi tersebut tidak pernah dibatalkan.
Oleh yang demikian, Hakim mengarahkan syarikat insurans tersebut membayar ganti rugi penuh dan turut menanggung kos caj penundaan sebanyak RM5,150 serta caj penyimpanan berjumlah RM13,317.80.
Mahkamah juga memberikan kos perundangan sebanyak RM50,000 kepada Lai, berserta faedah sebanyak 5% setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh dicapai.
Dalam kes ini, plaintif telah diwakili oleh peguam Lee Chan Leong dan Goh Chin How, manakala pihak defendan diwakili oleh Viknesvaran Kanagathipillai dan Archana Devi Thirumalai.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi ini, pihak insurans telah pun memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.