Jika sebelum ini rata-rata pengguna sering mengeluh setiap kali berdepan dengan rak yang kosong, senario itu nampaknya kini sudah berubah sepenuhnya.

Kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak yang pernah membelenggu warga tempatan kini ibarat memori lama.

Menerusi pelaksanaan dasar terbaharu yang lebih strategik, bekalan kini kembali melimpah di pasaran, lantas mengundang luahan rasa syukur dan kelegaan rakyat yang menyifatkan langkah tersebut sebagai satu tindakan yang tepat pada masanya.

Perkongsian ini telah dihantar oleh seorang warga tempatan di platform Threads, yang mana dia mendakwa stok minyak semakin mudah didapati selepas adanya dasar penggunaan aplikasi ECOSS untuk pembeliannya.

“Mentang-mentang sekarang dah kene pakai aplikasi ECOSS. Bukan main perlahan stok ni nak habis ye.Terima kasih kerajaan atas dasar yg bijak,” pujinya.

Kenyataan lelaki itu mendapat sokongan ramai apabila mereka juga mendapati senario yang sama dan bersyukur kini lebih mudah untuk mendapatkan stok minyak paket berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ada yang percaya dasar ini telah berjaya menyalurkan subsidi kepada sasaran golongan yang layak iaitu rakyat Malaysia sendiri.

“Alhamdulillah..tiap2 bulan dpt beli skali. Paket buat masak lauk. Botol buat goreng-goreng.”

“Yeee weyyy bertimbun minyaakkk masak yang dulu habis awal.”

“Benar… minyak paket dah tak putus stock sejak pakai ecoss, alhamdulillah….”

Apa itu aplikasi eCOSS?

Aplikasi eCOSS (Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak) adalah sebuah aplikasi digital yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) khas untuk merekod dan mengawal transaksi jual beli minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram.

Dalam bahasa mudah, aplikasi ini membolehkan rakyat Malaysia membeli minyak masak subsidi di kedai dengan hanya mengimbas kod QR, sambil membantu pihak kerajaan memastikan bekalan tersebut tidak diseludup, tidak dibeli oleh warga asing, dan benar-benar sampai kepada isi rumah tempatan yang layak mengikut kuota yang ditetapkan.

Dalam pada itu, timbul pula satu kegusaran di kalangan warga tempatan di mana warga emas mengalami kesukaran untuk pembelian minyak tersebut kerana tidak mahir dengan penggunaan teknologi seperti imbasan atau akses aplikasi eCOSS.

Jadi, diharapkan orang ramai di luar sana sudi membantu warga emas yang tidak mahir dalam perihal teknologi agar turut boleh menikmati manfaat kerajaan ini.