Impian Arsenal untuk menjulang kejuaraan Eropah berakhir dengan cara yang paling perit apabila tewas 3-4 kepada Paris Saint-Germain menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) awal pagi tadi.
Walaupun kekecewaan menyelubungi kem Arsenal di Budapest, Mikel Arteta tampil menjelaskan keputusan taktikal di sebalik pemilihan senarai pengambil sepakan penalti selepas pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes, gagal menyempurnakan sepakan yang menjadi penentu kemenangan.
Selepas kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Puskas Arena, timbul persoalan mengenai keputusan memilih Gabriel sebagai pengambil sepakan penalti terakhir.
Pertahanan Brazil itu tampil mengambil sepakan kelima Arsenal, namun percubaannya melambung tinggi melepasi palang gol sekali gus menghadiahkan trofi kepada gergasi Perancis, Paris Saint-Germain.
Gabriel Mahu Ambil Tanggungjawab Sepakan Kelima Arsenal
Arteta menjelaskan bahawa Gabriel sendiri menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab dalam situasi bertekanan tinggi itu selepas kebanyakan pakar sepakan penalti Arsenal tidak lagi berada di atas padang.
“Kami jujurnya mahu Gabriel mengambil sepakan kelima. Kami sudah membuat persiapan dan berlatih untuk situasi seperti ini. Kebiasaannya pengambil sepakan penalti kami ialah Bukayo Saka, Martin Odegaard dan Kai Havertz.
“Kami tahu jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan penentuan penalti, pengambil sepakan akan terdiri daripada pemain yang berbeza, namun mereka tetap mempunyai kualiti. Jika anda melihat Ebz (Eberechi Eze) mengambil penalti ketika latihan, dia hampir tidak pernah gagal.
“Namun, melakukannya dalam situasi sebenar seperti ini adalah perkara yang berbeza. Malangnya, kami tidak mempunyai ketepatan dan keberkesanan yang sama seperti mereka, dan itulah sebabnya kami gagal memenangi perlawanan ini,” kata Arteta menurut sumber laporan Goal.