Sementara orang lain berusaha mendapatkan gaji yang lebih tinggi di dalam karier masing-masing, namun berbeza dengan kisah seorang wanita yang membuat satu pendedahan yang mengejutkan selepas berkhidmat lebih 20 tahun di tempat kerjanya.

Dakwa sudah berbakti cukup lama di sebuah stesen minyak sejak 31 Mei pada tahun 2004, bagaimanapun gajinya masih statik di bawah RM2,500 pada ketika ini.

“ Hai guys. Hari ini 31 Mei genap 22 tahun saya bekerja di tempat yang sama. Selagi masih boleh bertahan mental ni stay jelah ya. Payslip pertama masih tersimpan rapi,” sambil melampirkan gambar gaji permulaan sewaktu dia berkhidmat 20 tahun lepas.

22 Tahun Berbakti, Gaji Wanita Ini Tak Sampai RM2,500 Buat Ramai Terkesima
Sumber Gambar: Threads @intansuhaila_yahya

Dengan kos sara hidup yang semakin mencengkam, pendedahan ini telah membuatkan warganet terkesima dan sebahagian menyifatkan ia sebagai satu bentuk penindasan halus.

Netizen turut membangkitkan persoalan tentang kenaikan gaji progresif yang sepatutnya diterima sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Takkan takde kenaikan selama 22 tahun? Katakan kalau setahun increment RM100 paling busuk. 22 tahun sepatut dah dapat kenaikan RM2200.

“Kalau ikut basic sekarang RM1,700 tambah dengan increment RM2,200 sepatutnya gaji sis kurang lebih RM3,900 sekarang untuk 22 tahun kerja,” soal tegur seorang netizen.

Dilontarkan soalan mengapa masih memilih untuk bertahan di tempat yang sama, wanita itu memberikan beberapa sebab dia berbuat sedemikian.

“Lokasi strategik dan fleksibiliti majikan: Jarak tempat kerja ke rumah hanyalah 3.5km, yang menjimatkan masa dan kos pengangkutan. Majikan juga memberi kelonggaran masa (sekitar 30 minit) untuk saya menguruskan hal penting seperti menghantar dan mengambil anak sekolah. Fleksibiliti ini amat membantu saya yang bergelar ibu tunggal sejak tahun 2018.

Persekitaran kerja yang bertimbang rasa: Majikan mudah dibawa berbincang. Proses untuk memohon cuti rehat tahunan (AL) atau bertukar syif dengan rakan sekerja adalah sangat mudah berbanding sesetengah tempat kerja yang jadual cutinya lebih ketat.

Faktor kestabilan: Memandangkan faktor usia, saya keberatan untuk bertukar kerja kerana bimbang perlu bermula semula dari bawah dengan gaji asas sekitar RM1,700. Oleh itu, kekal di syarikat ini adalah pilihan yang terbaik buat masa ini,” kongsinya.

Difahamkan dia juga masih memegang jawatan yang sama iaitu juruwang sepanjang berada di situ.

Oleh itu, ada yang menyarankan wanita itu untuk menambahkan skill jika mahu mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

Tidak kurang juga, sebahagian individu melihat perkongsian berkenaan sebagai satu pedoman untuk belajar erti rasa bersyukur dan cukup dengan rezeki yang diterima.