Mengembara ke luar negara sememangnya satu pengalaman yang membuka mata. Selain menikmati keindahan budaya dan kelazatan makanan tempatan, kadangkala kita akan terserempak dengan elemen kejutan yang membuatkan kita berasa seperti berada di tanah air sendiri.

Siapa sangka, percutian ke negara serantau seperti Vietnam rupa-rupanya menyimpan sisi ‘mesra Malaysia’ yang luar biasa, sehinggakan urusan jual beli menjadi jauh lebih mudah buat pelancong Nusantara berbanding pelancong dari benua lain.

Keunikan ini baru-baru ini menjadi bualan hangat selepas seorang pelancong warga Singapura, Boblet Lee Pichay, berkongsi rasa terkejunya menerusi sebuah video di platform TikTok.

Semasa menghabiskan masa di bandar Ho Chi Minh, dia mendapati rata-rata peniaga di sekitar kawasan penginapannya begitu terbuka menerima pembayaran terus menggunakan mata wang Ringgit Malaysia (RM).

“Sekarang ini saya berada di bandar Ho Chi Minh dan saya terkejut sebab kedai di kawasan hotel saya boleh guna Ringgit untuk bayar,” kongsinya dengan nada penuh kehairanan.

Kejutan buat pelancong ini tidak terhenti pada kemudahan pembayaran tunai sahaja. Pengalamannya menjadi lebih mengujakan apabila dia disapa dalam bahasa ibunda sewaktu ingin mencuba makanan jalanan popular di sana.

“Saya ada beli ban mi, penjaja tepi jalan itu bercakap dengan saya dalam bahasa Melayu. Saya terkejut, sekarang ini saya berada di Vietnam atau bukan?” ujarnya sambil berseloroh, jelas kagum dengan kemampuan penjaja tempatan yang pandai mengambil hati pelanggan.

@boblet21

Huh #malaysia

♬ original sound – Boblet Lee Pichay – Boblet Lee Pichay

Perkongsian tular tersebut pantas memancing pelbagai reaksi warga maya.

Menjengah ke ruangan komen, ada segelintir netizen yang cuba mengaitkan layanan istimewa itu dengan sentimen kekuatan nilai ringgit pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, pandangan tersebut diperbetulkan secara harmoni oleh rata-rata pelancong tegar dari Malaysia yang mendedahkan bahawa urus niaga menggunakan RM di Vietnam sudah dipraktikkan sejak bertahun-tahun lamanya. “Dah lama pun, saya pergi 2013 pun dah boleh guna,” kongsi seorang netizen bagi mengesahkan situasi tersebut.

Rupa-rupanya, rahsia di sebalik keistimewaan ini terletak pada kewujudan lokasi tumpuan yang sinonim dengan gelaran ‘Malaysia Street’ dalam kalangan pelancong.

Kawasan ini merupakan lubuk borong tekstil yang sangat popular, hinggakan peniaga di sana sanggup belajar berbahasa Melayu dan menerima RM demi melariskan jualan. “Malaysian street kan.. memang tempat ni tempat borong kain-kain.. akak-akak dan makcik-makcik selalu borong kain dan buat baju kurung kat sini. Tu yang beli guna ringgit tu, kat area lain belum tentu lagi,” jelas seorang pengguna yang arif tentang selok-belok bandar berkenaan.

Keupayaan komuniti peniaga di Ho Chi Minh beradaptasi dengan budaya dan bahasa pelanggan mereka adalah satu strategi pemasaran yang sangat bijak.

Ini bukan sahaja memberikan kemudahan kepada pembeli, malah membuktikan betapa indahnya kuasa pelancongan dan ekonomi dalam merapatkan jurang sempadan negara.

Walaupun niat asal hanyalah untuk melancong ke tempat orang, pengalaman disambut mesra dengan bahasa ibunda dan mata wang sendiri pastinya akan menjadi kenangan percutian yang paling mahal dan tidak dapat dilupakan.