Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo berada dalam senarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Kim Pan-gon sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Ejen jurulatih dari Korea Selatan itu, Lee Dong-jun berkata, pihaknya terbuka untuk melakukan rundingan dengan FAM supaya Hang-seo dapat bersedia mempertimbangkan tawaran itu.

Baca Juga:

Namun, FAM dilihat perlu membayar harga premium sekiranya mahu menjadikan Hang-seo sebagai ketua jurulatih baharu pasukan negara kerana beliau menerima gaji yang lumayan ketika bersama Vietnam.

Menurut laporan media negara itu, Park menerima gaji sebanyak $50,000 atau sekitar RM218 Ribu sebulan sebagai ketua jurulatih dan beliau juga dibenarkan menyimpan bayaran penuh daripada iklan atau menjadi duta untuk barangan serta perkhidmatan.

Selain menerima gaji yang tinggi, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) turut memberi keistimewaan lain kepada Park Hang-seo sepanjang beliau bergelar sebagai ketua jurulatih.

Antara keistimewaan yang diberikan ialah sebuah kediaman mewah, kereta dan pemandu untuk memudahkan pergerakan, tiket penerbangan antara Vietnam dan Korea selain VFF membayar cukai jurulatih itu kepada kerajaan.

Gaji tinggi dan keistimewaan penuh yang diberikan kepada Hang-seo nyata berbaloi bagi Vietnam dimana mereka memenangi Piala AFF Mitsubishi Electric pada 2018 selain mara ke perlawanan akhir AFC B-23 pada tahun yang sama dan beraksi di dua temasya Piala Asia.

Sebagai rekod, Hang-seo ketika ini menjadi penasihat bagi kelab divisyen dua Vietnam, Bac Ninh FC.

Menurut Lee Dong-jun, FAM perlu membuat tawaran sekiranya mahu mendapatkan Hang-seo sebagai pengendali baharu pasukan kebangsaan.

“Jika mereka mahukan Park, Malaysia mesti membuat tawaran. Kemudian saya akan berbincang dengannya untuk pertimbangkan tawaran berkenaan.

“Saya mahu mengesahkan bahawa tiada sebarang cerita mengatakan Park berkata dia mahu ke Malaysia untuk mendapatkan jawatan tiu,” katanya.