Hubungan Kuala Lumpur dan Hanoi kini dalam situasi panas selepas Malaysia mendakwa Vietnam cuba memperluaskan wilayah di Terumbu Karang Barque Canada, sebuah kawasan yang turut dituntut oleh kedua-dua negara di Laut China Selatan (LCS).
Menurut laporan Reuters, Malaysia telah menghantar surat aduan rasmi kepada Kementerian Luar Negeri Vietnam pada awal Oktober, namun sehingga kini, aduan tersebut masih belum menerima maklum balas dari pihak Vietnam.
Terumbu Karang Barque Canada merupakan salah satu pulau kecil dalam Kepulauan Spratly, yang menjadi kawasan penuh konflik akibat pelbagai tuntutan kedaulatan.
Malaysia mengkritik tindakan Vietnam yang dikatakan memperluaskan pulau kecil ini, walaupun aduan itu tidak merujuk secara langsung kepada pembangunan infrastruktur seperti landasan udara yang baru-baru ini dilaporkan oleh Radio Free Asia sedang dalam pembinaan di kawasan yang sama.
Kepulauan Spratly sememangnya menjadi isu di perairan Laut China Selatan.
Vietnam bukan satu-satunya negara yang aktif melakukan pembangunan di kawasan ini.
Aktiviti pembinaan di kepulauan ini telah berlaku secara meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan beberapa negara yang masing-masing berusaha menuntut hak dan kedaulatan mereka.
China merupakan antara negara yang paling agresif dengan tujuh pulau buatan yang sudah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan tentera.
Walaupun situasi panas seperti ini jarang sekali berlaku di antara Malaysia dan Vietnam, isu berkaitan pencerobohan nelayan Vietnam ke dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia sering menjadi sebab kenapa Putrajaya bersikap tegas dengan rakan ASEAN tersebut.
Tindakan menangkap awak kapal yang dituduh menceroboh sering kali dijadikan langkah tegas Malaysia dalam menegakkan undang-undang perairan.
Isu terbaharu di Terumbu Karang Barque Canada ini, jika tidak diselesaikan dengan baik, berpotensi menambah situasi tegang antara Malaysia dan Vietnam.
Namun, baik Malaysia mahupun Vietnam sama-sama faham bahawa Laut China Selatan adalah wilayah yang sensitif, yang memerlukan satu perbincangan untuk memastikan kestabilan wilayah tersebut.