Mahkamah Tinggi di sini telah menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik pinjaman pelajaran berjumlah RM857,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam menyatakan beliau mendapati tiada merit dalam alasan rayuan tersebut dan tiada sebab untuk campur tangan dalam keputusan mahkamah perbicaraan (Mahkamah Sesyen), petik Free Malaysia Today.
“Dapatan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh keterangan, dan tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata,” katanya dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan minggu lepas.
Beliau juga memutuskan bahawa tuntutan MARA tidak dihalang oleh Akta Had Masa 1953, memandangkan tindakan undang-undang tersebut telah difailkan dalam tempoh yang ditetapkan. Susulan itu, perayu diperintahkan untuk membayar kos RM10,000.
Latar Belakang Kes
Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, menerima pinjaman pertama daripada MARA pada tahun 2011 untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di University of Manchester, dan pinjaman kedua pada tahun 2013 bagi program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Cambridge.
Tiga ahli keluarganya — Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor, dan Jamilah Long — bertindak sebagai penjamin untuk kedua-dua pinjaman tersebut. MARA memulakan prosiding undang-undang selepas mendakwa Siti Norbaya gagal membayar balik pinjaman berkenaan.
Perayu berhujah bahawa Siti Norbaya telah menamatkan pengajian Sarjananya dalam tempoh yang ditetapkan, dan mendakwa tuntutan MARA di bawah perjanjian pinjaman 2011 telah dihalang oleh Akta Had Masa 1953.
Pelanggaran Kontrak Perjanjian
Dalam penghakimannya, Darmafikri menegaskan bahawa terma-terma kontrak adalah mengikat pihak-pihak yang terlibat, dan mahkamah mesti menguatkuasakan niat jelas pihak-pihak berkenaan seperti yang dinyatakan dalam terma tersebut.
Mengguna pakai prinsip berkenaan, beliau mendapati Klause 4.6 dalam surat tawaran MARA 2013 dan Klause 3.1(a) dalam perjanjian pinjaman 2013 secara jelas menghendaki Siti Norbaya menyelesaikan pengajian PhD beliau dalam tempoh empat tahun.
Melalui surat bertarikh 15 Februari 2017, Siti Norbaya mengakui bahawa beliau tidak dapat menamatkan pengajian doktor falsafahnya dalam tempoh penajaan dan telah diberikan lanjutan masa sehingga Ogos 2017. Bagaimanapun, beliau tetap gagal menamatkan pengajiannya.
“Mahkamah mendapati kegagalan beliau untuk menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun tujuh bulan tersebut merupakan satu pelanggaran kontrak.
“Oleh itu, plaintif (MARA) berhak menuntut bayaran balik bagi keseluruhan jumlah pinjaman bersandarkan Klause 3.5 dalam perjanjian pinjaman 2013,” katanya.
Isu Status Universiti dan Had Masa
Darmafikri berkata niat pihak-pihak terlibat adalah jelas sejak awal lagi, dan Siti Norbaya tidak boleh mengguna pakai tafsiran berbeza terhadap perjanjian tersebut semata-mata untuk mengelak daripada kewajipan membayar balik.
“Walaupun beliau mendakwa telah mendapat status ‘kemasukan semula’ (reinstatement) daripada pihak universiti, perkara itu tidak melibatkan atau mengikat MARA,” katanya.
Beliau seterusnya mengambil maklum bahawa Mahkamah Sesyen mendapati Siti Norbaya masih belum menamatkan pengajian PhD beliau sehingga tarikh perbicaraan, dan oleh itu, beliau bertanggungjawab untuk membayar balik keseluruhan jumlah pinjaman di bawah perjanjian 2013.
Mengenai isu had masa, Darmafikri memutuskan bahawa MARA mempunyai budi bicara kontrak untuk menentukan tarikh bayaran balik perlu dibuat, dan telah menangguhkannya sepanjang perayu melanjutkan pengajian di bawah aturan pinjaman kedua.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa saman yang difailkan pada tahun 2022 tersebut masih berada dalam tempoh had masa statutori.
Dalam prosiding ini, perayu diwakili oleh peguam Nik Nur Amirah Nik Nuzul, manakala Anis Amirah Amran bertindak bagi pihak MARA.