Bermula pada 3 Jun 2026, Kerajaan Persekutuan telah menguatkuasakan Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 bagi Pasport Malaysia.

Perintah ini, yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Fi 1951, membawa beberapa perubahan penting terhadap struktur yuran permohonan pasport, termasuklah pengenalan Pasport Malaysia dengan tempoh sah laku selama 10 tahun.

Pengenalan Pasport Sah Laku 10 Tahun

Melalui pindaan terbaharu ini, warganegara kini mempunyai pilihan untuk memohon Pasport Malaysia yang sah digunakan selama 10 tahun dengan kadar bayaran RM350.00 bagi pemohon biasa.

Walau bagaimanapun, kadar istimewa dan pengecualian telah ditetapkan bagi golongan-golongan berikut:

Warga Emas: Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas hanya perlu membayar separuh harga, iaitu RM175.00

Golongan Kurang Upaya (OKU): Pengecualian bayaran sepenuhnya diberikan kepada individu OKU berumur 18 tahun dan ke atas yang mempunyai Kad OKU yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Warga Imigresen: Pengecualian bayaran juga dipanjangkan kepada mana-mana pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia

Penetapan Istilah Baharu bagi Pelajar

Bagi permohonan yang melibatkan kemudahan untuk pelajar, pindaan ini juga telah memperkemas terma kelayakan.

Istilah umum ;belajar di luar negara’ (studying abroad) kini digantikan secara rasmi dan lebih khusus kepada ‘belajar untuk program ijazah di luar negara’ (studying for a degree programme abroad).

Penstrukturan Semula Fi Penggantian Pasport Hilang atau Rosak

Kerajaan turut menetapkan kadar denda atau fi baharu bagi penggantian pasport atas alasan hilang atau rosak, yang dibahagikan kepada dua kategori utama mengikut tempoh sah laku pasport:

1. Pasport Malaysia (Sah Laku 5 Tahun)

Bagi kategori pasport 5 tahun, kadar denda dibahagikan kepada tiga kumpulan pemohon:

Kumpulan Biasa: Individu berumur 13 hingga 59 tahun.

Kumpulan Istimewa: Warga emas (60 tahun ke atas), kanak-kanak (12 tahun ke bawah), pelajar ijazah luar negara (21 tahun ke bawah), dan jemaah haji.

Kumpulan OKU: Khusus untuk individu OKU di bawah umur 18 tahun.

Kehilangan Kali Pertama:

Biasa: RM400 | Istimewa: RM300 | OKU (<18): RM200

Kehilangan Kali Kedua:

Biasa: RM700 | Istimewa: RM600 | OKU (<18): RM500

Kehilangan Kali Ketiga & Seterusnya:

Biasa: RM1,200 | Istimewa: RM1,100 | OKU (<18): RM1,000

2. Pasport Malaysia (Sah Laku 10 Tahun)

Bagi anda yang memilih pasport baharu bertempoh 10 tahun, kadar penalti adalah sedikit tinggi memandangkan dokumen tersebut mempunyai nilai tempoh yang lebih panjang:

Kehilangan Kali Pertama:

Biasa (18-59 tahun): RM550

Warga Emas (60+): RM375

OKU (18+) & Kakitangan Imigresen: RM200

Kehilangan Kali Kedua:

Biasa (18-59 tahun): RM850

Warga Emas (60+): RM675

OKU (18+) & Kakitangan Imigresen: RM500

Kehilangan Kali Ketiga & Seterusnya:

Biasa (18-59 tahun): RM1,350

Warga Emas (60+): RM1,175

OKU (18+) & Kakitangan Imigresen: RM1,000

Secara keseluruhannya, pewartaan yang dibuat pada 16 Februari 2026 dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar ini mencerminkan inisiatif pemodenan perkhidmatan rasmi negara dengan menyediakan lebih banyak kemudahan sambil menekankan tanggungjawab penjagaan dokumen pengenalan diri.

Pewartaan ini akan turut dibentangkan di Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan seksyen 4 Akta Fi 1951