Baru-baru ini, hidangan sarapan kegemaran rakyat Malaysia telah berjaya memukau juri dengan Roti canai di pentas masakan antarabangsa menerusi program realiti MasterChef US Musim ke-16: Global Gauntlet.

Jaime Tan, seorang pencipta kandungan berusia 27 tahun yang mewakili rantau Asia-Pasifik, berjaya mengharumkan nama budaya kulinari tempatan walaupun persembahannya diiringi dengan sedikit kontroversi.

Tular perdebatan di media sosial apabila netizen Malaysia mengkritik cara Jaime menyebut nama hidangan tersebut sebagai ‘Roti Kanai’ dan bukannya dengan sebutan tempatan yang betul iaitu ‘Roti Canai’.

Menyedari kekecewaan tersebut, Jaime segera tampil memohon maaf atas kesilapannya dan menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat untuk merosakkan imej hidangan kebangsaan itu di stesen televisyen.

“Saya ingin menyentuh tentang kontroversi yang melibatkan hidangan Roti Canai baru-baru ini. Sebagai latar belakang, saya telah memenangi cabaran MasterChef pada minggu lepas. Bagaimanapun, kemenangan tersebut dicemari dengan reaksi negatif orang ramai ekoran kesilapan saya menyebut hidangan tersebut sebagai ‘Roti Kanai’.

“Saya berasa amat ralat kerana telah mengecewakan masyarakat Asia Tenggara, memandangkan saya amat memahami nilai sentimental dan kepentingan hidangan ini buat mereka.

“Justeru, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kesilapan yang sama sekali tidak disengajakan itu. Saya tiada niat langsung untuk sengaja menyalah sebut sebuah hidangan kebangsaan di media antarabangsa. Ia merupakan satu kekhilafan murni, dan kini saya telah mempelajari sebutan yang betul bagi Roti Canai,” kata beliau.

Sebab Tersalah Sebut ‘Roti Kanai’

Jamie menjelaskan beliau tidak dibesarkan di Malaysia. Oleh sebab itulah beliau tersalah menyebut nama makanan tersebut.

“Untuk makluman, saya tidak dibesarkan di Malaysia. Sebagai seorang individu berdarah kacukan Amerika-Malaysia yang menetap di kawasan yang mempunyai komuniti Malaysia yang kecil, pendedahan saya agak terhad.

“Arwah datuk dan nenek saya dahulu pernah mengusahakan perniagaan kopitiam di Johor, negeri asal bapa saya. Meskipun membesar jauh di perantauan, saya sentiasa merasai ikatan kasih sayang yang kuat terhadap Malaysia.

“Peluang untuk membawa dan mewakili nama Malaysia dalam pertandingan ini amat bermakna buat saya. Oleh sebab itu, saya amat terkilan dengan kesilapan diri sendiri,” terang beliau lagi.

Elak Baca Kritikan Media Sosial

Oleh kerana Jamie mengutamakan kesejahteraan diri sendiri, hingga kini, saya belum membaca kesemua komen di media sosial.

“Sebagai seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan dalam kerja (self-critical), kecaman-kecaman tersebut pasti akan menjejaskan emosi saya.

“Malah, segala kritikan yang dilemparkan sebenarnya telah pun berlegar-legar dalam fikiran saya terlebih dahulu. Saya terus-menerus menyalahkan diri sendiri.

“Itulah sebabnya mengapa saya tidak kelihatan gembira sepenuhnya walaupun diumumkan sebagai pemenang episod tersebut; minda saya sarat dengan kerisauan bahawa masyarakat di Malaysia akan kecewa dengan hasil kerja saya,” katanya lagi.

Keyakinan Tergugat Gara-Gara Kritikan 

Pada masa sama, Jamie menyatakan pada awalnya beliau meletakkan harapan agar rakyat Malaysia akan berbangga dengannya selepas terpilih untuk menyarungkan apron MasterChef.

Bagaimanapun keyakinan tersebut agak tergugat selepas melihat kepada respons negatif yang diterima sekarang.

“Saya terfikir, mujurlah saya berjaya mara, jika tidak, mungkin kecaman yang diterima akan menjadi lebih hebat.

“Akhir kata, salam sayang buat seluruh rakyat Malaysia. Saya sekali lagi memohon maaf atas kesilapan sebutan Roti Canai tersebut. Saya mungkin masih lemah dari segi sebutan, namun saya mampu mengopek buah durian dengan tangan kosong — dan saya percaya, itu sudah cukup untuk membuktikan jiwa Malaysia yang ada dalam diri saya,” jelas beliau.

Sumber