Siapa sangka, hidangan sarapan kegemaran rakyat Malaysia yang sering kita nikmati saban hari kini berjaya memukau juri di pentas masakan antarabangsa?
Baru-baru ini, Jaime Tan, seorang pencipta kandungan berusia 27 tahun yang mewakili rantau Asia-Pasifik, telah membanggakan kita semua dalam program realiti MasterChef US Musim ke-16: Global Gauntlet.
Walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Queens, New York, Jaime sangat berbangga dengan akar umbinya dan tidak melepaskan peluang membawa sentuhan cita rasa Malaysia ke mata dunia.
Dalam episod yang membawakan cabaran *World Cup Cookoff*, para peserta telah diuji dan hanya diberikan masa selama 60 minit untuk menyediakan hidangan terbaik bagi dinikmati ketika menonton perlawanan bola sepak.
Walaupun masa yang diberikan agak suntuk, Jaime mengambil risiko yang cukup berani dengan menyajikan hidangan lengkap merangkumi roti canai, kari, nasi lemak (nasi kelapa), serta jelatah timun dan nanas. Keputusan ini sangat mencabar kerana proses penyediaan roti canai biasanya memakan masa berjam-jam lamanya.
Lebih menyentuh hati, hidangan ini bukanlah sekadar resipi untuk pertandingan, tetapi mempunyai nilai sentimental yang cukup dekat dengan jiwanya.
Berkongsi memori bersama bapanya, Jaime berkata, “Ayah selalu buatkan hidangan ini untuk saya sebelum dia pergi kerja. Jadi, saya rasa tekanan yang agak besar untuk lakukannya dengan baik hari ini,”.
Beliau juga tidak segan mengakui rasa gemuruhnya ketika berdepan cabaran masa tersebut.
“Saya sebenarnya takut untuk menyediakan hidangan ini kerana biasanya ia mengambil masa lebih lapan jam untuk disiapkan,” luah Jaime secara jujur kepada pihak juri.
Namun, segala peluh dan debaran itu nyata berbaloi apabila tiba waktu penjurian. Cef selebriti terkenal yang kebiasaannya agak tegas, Gordon Ramsay, nyata sangat kagum dengan keyakinan dan kemampuan Jaime menyajikan sebuah hidangan yang kompleks dalam tempoh masa yang sangat singkat.
Ramsay memberikan pujian melambung sejurus selepas merasai hidangan tersebut. “Karinya sangat lazat. Ia harum, hangat, sedikit masam. Rasanya seperti anda telah memasaknya selama enam jam. Syabas,” kata beliau dengan penuh kekaguman.
Rakan juri, Tiffany Derry, juga tidak kurang kagumnya. Beliau secara khusus memuji elemen nanas dan pudina dalam jelatah yang memberikan gigitan segar dan melengkapkan rasa kari berserta roti canai tersebut.
Berkat ketekunan dan keikhlasannya dalam memasak hidangan tradisi ini, sajian Jaime bukan sahaja dipilih sebagai hidangan terbaik dari kumpulan Asia-Pasifik, malah berjaya menewaskan juara-juara dari Eropah, Afrika, dan Amerika untuk muncul sebagai pemenang keseluruhan cabaran berkenaan.
@masterchefusofficial her roti canai had us asking, “CANAI please try that dish!?” 🤩😋🍽️ 🇲🇾 meet Jaime @jaime representing Malaysia for Team Asia-Pacific on MasterChef: Global Gauntlet streaming on @hulu. 🏆🧑🍳
Kemenangan manis ini melayakkan Jaime membawa pulang Pin Imuniti untuk dirinya dan pasukannya, serta hadiah kad Home Depot bernilai $2,500 (~RM10,000).
Walaupun tular sedikit perdebatan melucukan di ruangan komen media sosial di mana netizen Malaysia berasa ‘cringe’ dengan cara Jaime menyebut hidangan tersebut sebagai “roti kanai” dan bukannya sebutan tempatan “cha-nai” ramai yang segera tampil memberikan kata-kata sokongan.
Hakikatnya, usaha Jaime adalah sesuatu yang patut dibanggakan. Beliau telah mengangkat martabat masakan tempatan kita ke tahap tertinggi di luar negara. Ia satu bukti nyata bahawa makanan tradisi Malaysia, hatta yang sesederhana roti canai, mempunyai magis tersendiri yang mampu menyatukan hati manusia tanpa mengira sempadan dunia!