Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan notis kepada sebuah restoran di Seremban bagi menuntut penjelasan selepas seorang pelanggan mendakwa beliau dan rombongannya dikenakan caj RM120 untuk makanan dan minuman yang didakwa hanya bernilai RM70.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, restoran tersebut telah diserahkan notis untuk menjelaskan penetapan harganya dalam tempoh empat hari, petik Free Malaysia Today.

Baca Juga:

Pertikaian itu timbul selepas lelaki terbabit mendakwa dia dikenakan caj melampau bagi kos roti canai dan minuman yang dipesan untuknya dan rombongan tersebut.

Menerusi video yang tular, seorang pelanggan yang tidak berpuas hati berkata dia dikenakan caj RM120 bagi makanan dan minuman yang dihidangkan di tiga meja.

Dia berkata dia telah meminta pengiraan semula, yang didakwanya menunjukkan jumlah sebenar sepatutnya hanya RM70. Dia turut mendakwa terpaksa menunggu selama sejam untuk proses pengiraan semula.