Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen Ligue 1 2026/27 dengan cukup hambar selepas hanya dua mata daripada tiga perlawanan dilalui.
Selepas tewas kepada Lens pada aksi Trophee des Champions, skuad kendalian Luis Enrique itu dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi sebenar mereka.

Ia jelas dibuktikan apabila PSG hanya mampu mencatatkan keputusan 2-2 ketika berhadapan dengan Rennes dan LOSC Lille. Lebih menarik untuk diperkatakan, mereka ketinggalan dua gol pada kedua-dua perlawanan tersebut.
Ketinggalan dua gol pada babak pertama ketika menentang Rennes, PSG bangkit dengan dua gol rekrut baharu, Ferran Torres pada minit ke-71 dan ke-82.
Bukan Permulaan Baik Buat PSG
Skrip sama berulang sewaktu bertemu Lille apabila Vitinha menjaringkan gol pada minit ke-90+1 dan Marquinhos pada berselang empat minit kemudian untuk menyelamatkan maruah juara Ligue 1 14 kali itu.
Lain pula ceritanya apabila mereka berjaya mendahului lawan ketika menentang AS Monaco awal pagi tadi.
Marquinhos membuka tirai jaringan pada minit ke-31, namun pasukan pelawat bangkit dengan dua gol menerusi Flavio Nazinho (minit ke-58) dan Stanis Idumbo pada minit ke-72 untuk menghadiahkan kekalahan sulung dalam kempen liga buat PSG.

Dengan kekalahan tersebut, PSG ketika ini menghuni kedudukan ke-12 dengan dua mata hasil dua keputusan seri dan satu kekalahan.
Ia mungkin terlalu awal buat Les Parisiens dan mereka pasti akan bangkit selepas ini, tetapi ia memberikan gambaran jelas bahawa cabaran pasukan lain bakal menjadi igauan buat mereka sekiranya gagal untuk memperagakan aksi lebih baik.