Harry Kane memberikan pandangannya mengenai landskap bola sepak Eropah dengan mengatakan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai pasukan pilihan utama untuk kempen UEFA Champions League (UCL) 2026/27.
Penyerang berbisa Bayern Munich dan England itu melihat status PSG sebagai juara dua musim berturut-turut menjadikan mereka pilihan paling wajar untuk sekali lagi merebut gelaran pada musim ini.
PSG muncul juara edisi lalu selepas menundukkan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi ketika membelasah Inter Milan 5-0 pada 2024/25.
Kane Anggap PSG Calon Utama
Melihatkan kepada prestasi hebat PSG, Kane beranggapan wakil Perancis itu berpeluang untuk melakar kejuaraan hatrik.
“Saya fikir PSG adalah pasukan pilihan utama kerana mereka telah memenanginya dua tahun berturut-turut dan sudah tentu terdapat pasukan lain seperti Bayern, Arsenal, Real Madrid, Barcelona Semua pasukan besar akan berada di sana,” ujar Kane menurut sumber laporan Goal.
“Saya fikir kami [Bayern Munich] melalui kempen yang sangat baik di Eropah. Kami tewas kepada pasukan hebat seperti PSG dengan perbezaan yang sangat kecil, jadi kadangkala anda perlu menerima perkara tersebut dan terus bergerak ke hadapan.”
“Sejak hari pertama saya berada di sini, saya tahu bahawa pemain-pemain lain dan para pengurus juga kembali bekerja dengan mentaliti yang sama.”
“Musim lalu sudah menjadi sejarah dan kita akan lihat apa yang berlaku pada musim ini. Kini, apa yang penting adalah bergerak ke hadapan, berjuang untuk musim ini dan, sudah tentu, UCL merupakan salah satu sasaran utama kami.”
“Kami bersedia untuk bekerja keras dan melihat sejauh mana perjalanan ini membawa kami, dengan menyedari bahawa setiap perlawanan dalam pertandingan ini menghadirkan cabaran yang unik dan sukar,” tambah Kane lagi.