Bayern Munich mungkin menikmati saingan Bundesliga 2023/24 yang menghampakan tetapi penyerang mereka, Harry Kane terus membuktikan beliau merupakan antara peledak berbisa di dunia.

Daripada 44 perlawanan yang dilalui dalam semua pertandingan disertai musim ini, pemain berusia 30 tahun itu berjaya meledakkan 44 gol dan mencipta 11 bantuan jaringan.

Baca Juga:

Dalam saingan Bundesliga, beliau menjaringkan 36 gol dan meledakkan hatrik ketika menentang Vfl Bochum, SV Darmstadt 98, Borussia Dortmund dan FSV Mainz.

Satu keadaan yang menjadikan dirinya sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak liga, berkelebihan sembilan gol berbanding penyerang VfB Stuttgart, Serhou Yadaly Guirassy.

Melihat kepada kehebatannya dalam merobek gawang lawan, Kane turut mempunyai diet yang membuatkan pengurus pasukan, Thomas Tuchel terkejut.

Menurut sumber Goal, kapten skuad kebangsaan England itu dikatakan akan menikmati ‘bacon’ dan kacang panggang pada sarapan pagi.

Selain itu, Harry Kane juga merupakan seorang yang cukup obses dengan kopi. Hakikat itu didedahkan sendiri oleh Tuchel.

“Berapa banyak cappucino yang dia minum dalam masa sehari. Setiap kali saya ke dapur (di pusat latihan), dia mesti ada di situ,” ujar Tuchel menurut sumber Goal.

“Mesti sedap sangat kopi itu dan saya juga perlu untuk mula minum kopi ni. Dia nampak sihat dan dalam keadaan baik.”

Meskipun sudah terlepas peluang untuk muncul juara Bundesliga, Kane dan Bayern Munich kini memburu kejuaraan lebih besar dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Awal pagi esok, kelab Bavaria itu akan membuat perhitungan separuh akhir kedua menentang Real Madrid dimana kedua-dua pasukan terikat 2-2.

 

Sumber