Pelakon China, Wang Xing, dilaporkan pernah dijual sebanyak tiga kali dalam tempoh hanya empat hari selepas menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar pada Januari 2025.
Perkara mengejutkan itu didedahkan menerusi sebuah dokumentari terbitan penyiar kerajaan China, CCTV, yang membongkar operasi sindiket penipuan telekomunikasi dan pemerdagangan manusia di utara Myanmar.
Dokumentari tiga episod berjudul The Demise Of Telecom Fraud In Northern Myanmar itu diterbitkan bersama Kementerian Keselamatan Awam China dan China Media Group.
Menurut pendedahan dokumentari tersebut, Wang yang turut dikenali dengan nama pentas Xing Xing menjadi mangsa selepas tertarik dengan tawaran pekerjaan sebagai pelakon yang diiklankan menerusi kumpulan WeChat pada penghujung 2024.
Individu menggunakan nama Yan Shiliu mendakwa dirinya sebagai penolong pengarah yang sedang mencari pelakon untuk sebuah produksi.
Selepas menghantar video uji bakat, Wang dimaklumkan bahawa dia berjaya dipilih. Malah, pihak terbabit turut menguruskan tiket penerbangan pergi balik dari Shanghai ke Bangkok serta penginapan hotel bagi meyakinkannya bahawa tawaran tersebut benar-benar wujud.
Bagaimanapun, sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok pada 2 Januari 2025, Wang dijemput seorang pemandu yang diatur oleh individu berkenaan.
Dia kemudian dimaklumkan bahawa lokasi penginapannya telah berubah. Bukannya dibawa ke hotel yang ditempah di Phuket, dia sebaliknya dibawa menuju ke Mae Sot, sebuah bandar berhampiran sempadan Myanmar.
Wang mula mengesyaki sesuatu tidak kena selepas dipindahkan ke kenderaan lain berhampiran sebuah pasar raya.
Dia kemudian menghantar mesej kepada teman wanitanya dengan bertanyakan, “Sudah beri kucing makan?” yang sebenarnya merupakan isyarat kecemasan rahsia antara mereka.
Teman wanitanya segera membuat laporan kehilangan sebelum Wang diculik sekumpulan lelaki bersenjata dan diseludup menyeberangi sempadan ke Myanmar.
Selepas itu, dia terputus hubungan dengan dunia luar.
Dokumentari sama turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa China pernah membuat tiga percubaan untuk memujuk keluarga jenayah berpengaruh di utara Myanmar supaya menghentikan operasi mereka.
Seventeen members of a cross-border human trafficking ring involved in abducting Chinese actor Wang Xing to Myawaddy have been indicted on charges including abducting and trafficking people, illegal detention, robbery and kidnapping, and forcing people to engage in telecom fraud,… pic.twitter.com/mYSTZW76EG
— China News 中国新闻网 (@Echinanews) August 20, 2026
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil sebelum Beijing melancarkan tindakan penguatkuasaan besar-besaran pada 2023.
China kini meneruskan kempen tekanan antarabangsa bagi membanteras pusat penipuan di Myanmar dan beberapa negara Asia Tenggara, termasuk mendakwa serta menjatuhkan hukuman berat terhadap anggota sindiket pemerdagangan manusia.