Tindakan memberikan ID pengguna dan kata laluan kepada individu tidak dikenali untuk membuat tempahan slot Rembayung menerusi aplikasi Grab bukan sahaja boleh membahayakan data peribadi, malah menyebabkan akaun digantung secara automatik.
Perkara itu dikongsikan oleh pencipta kandungan dan usahawan, Khairul Aming menerusi satu hantaran di Threads selepas berdepan situasi melibatkan seorang pelanggan di hadapan Rembayung.
Menurut Khairul Aming, pelanggan berkenaan sudah sampai ke lokasi tetapi tidak dapat membuka aplikasi Grab kerana akaunnya telah disekat.
“Hari ni kita ada customer yang dah sampai kat depan Rembayung tapi tak dapat buka Grab sebab account suspended.”
Beliau kemudian menjelaskan bahawa pelanggan tersebut dipercayai telah memberikan user ID dan kata laluan kepada ‘scalper’ untuk membuat tempahan bagi pihaknya.
“Bila disiasat, dia dah bagi user ID dan password kepada scalpers untuk bookingkan bagi pihak dia.”
“Bila akaun anda dilogin ke dalam phone strangers untuk buat booking, automatic akan dilabel suspicious activity dan Grab akan suspend account tersebut.”
Khairul Aming turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi butiran log masuk Grab dengan mana-mana individu, khususnya orang yang tidak dikenali.
“Please jangan bagi login details anda kepada strangers. Alamat rumah, purchase history, banking details, semua data anda ada kat dalam tu.”
Grab sahkan sistem kesan log masuk dari peranti asing
Hantaran tersebut turut mendapat respons daripada akaun rasmi Grab Malaysia.
Grab bersetuju dengan peringatan Khairul Aming dan menjelaskan bahawa langkah berkenaan dibuat bagi melindungi pengguna.
“Setuju dengan pesanan Khairul Aming. Terima kasih kerana atas peringatan.”
Grab berkata, sistem mereka akan mengesan log masuk daripada peranti asing sebagai aktiviti mencurigakan.
“Untuk keselamatan anda, sistem Grab akan mengesan login dari peranti asing sebagai aktiviti mencurigakan (suspicious activity) dan menggantung akaun secara automatik demi melindungi baki e-wallet, kad bank, dan alamat peribadi anda daripada disalahgunakan.”

Netizen persoal nasib pelanggan berkenaan
Dalam ruangan komen, seorang netizen, Miss Lina Official, bertanyakan sama ada pelanggan tersebut masih dibenarkan masuk ke Rembayung atau terpaksa menanggung kerugian selepas akaunnya digantung.
“So dlm kes ni, dia boleh masuk utk mkn ke.. atau consider reject and rugi.. pls bagitahu kami jawapan dia ka. So that it will be a lesson for everyone.”
Seorang lagi pengguna, Nlnuna29, pula berpendapat tindakan tegas wajar dikenakan terhadap pengguna yang sanggup berkongsi maklumat log masuk sendiri.
“Orang mcmni patut kena ban je. Ade je cara ek sel-sel otak berhubung nk buat duit tapi tak pikir keselamatan data sendiri.”
Menjawab persoalan tersebut, Khairul Aming memaklumkan bahawa pelanggan berkenaan tidak dibenarkan masuk dan akaunnya memang telah digantung.
“Tak dibenarkan masuk, account juga dah suspended, harap maaf.”
Perkongsian itu menjadi peringatan kepada pengguna supaya tidak menyerahkan maklumat log masuk kepada ‘scalper’ atau pihak ketiga semata-mata untuk mendapatkan tempahan.
Selain risiko akaun digantung, maklumat seperti alamat rumah, sejarah pembelian, baki e-wallet dan butiran kad bank juga berpotensi disalahgunakan sekiranya jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab.