Sebuah keluarga kini tampil memohon bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan satu insiden kemalangan dan serangan fizikal melibatkan bapa mereka.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Daniel Haiqal, kejadian tersebut bermula apabila kenderaan yang dipandu bapanya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta lain.
Menurut perkongsian berkenaan, mangsa kemudiannya memberhentikan kenderaan dan keluar untuk memeriksa keadaan keretanya selepas pelanggaran berlaku.

Namun, situasi bertukar cemas apabila mangsa secara tiba-tiba didatangi dan dipukul oleh seorang individu di lokasi kejadian.
Selepas itu lelaki terbabit beredar daripada tempat kejadian dengan menaiki sebuah Perodua Alza.
Sehubungan itu, pihak keluarga mangsa merayu mana-mana pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan terbabit serta mempunyai rakaman dashcam atau maklumat berkaitan insiden tersebut agar tampil menghubungi mereka bagi membantu siasatan dan menegakkan keadilan buat mangsa.