Thailand memang tidak asing lagi buat rakyat Malaysia untuk dijadikan destinasi pelancongan terutamanya di kawasan Hat Yai, Krabi, Phuket dan Bangkok.

Berdasarkan statistik kehadiran pelawat antarabangsa ke negara tersebut pada tahun 2023, rakyat Malaysia menjadi pelancong paling ramai ke Thailand iaitu dengan kehadiran 4.56 juta orang.

Baca Juga:

Berada hampir dengan kawasan utara semenanjung sepertiĀ  Hat Yai, Danok, Songkhla dan lain-lain lagi, kos yang tidak terlalu mahal serta banyak tarikan menarik menjadi penyebab utama kebanjiran rakyat Malaysia ke sana dengan menggunakan jalan darat.

Sehubungan dengan itu, wakil The Vocket juga tidak mahu ketinggalan untuk merasai pengalaman ke negara tersebut dengan menggunakan jalan darat.

Tujuan utama penulis ke Bangkok adalah untuk membuat liputan Piala Asia Futsal 2024, sesi ‘attachment’ melibatkan Gombak TOT United dan skuad futsal Thammasat Stallion serta membuat tinjauan ke Pusat Latihan Songkhla FC.

Pengembaraan panjang bermula

Dengan menggunakan kenderaan Perodua Alza (2022), penulis bersama-sama tiga jurulatih dan seorang pemain Gombak TOT United bergerak dari Gombak pada jam 3.00 pagi hari Khamis untuk ke Padang Besar, Perlis.

Jam 5.30 pagi kami berhenti sebentar di Chemor, Perak untuk berehat seketika di kediaman keluarga penulis dan meneruskan semula perjalanan 30 minit kemudian.

Kira-kira lima jam kemudian, kami mendapatkan insurans kereta untuk memasuki Thailand di Napoh, Jitra dimana dokumen yang perlu dibawa adalah geran asal kenderaan anda.

Selain insurans kenderaan, beberapa borang seperti deklarasi kenderaan akan diberikan dan diisi oleh wakil kedai perkhidmatan insurans untuk pemilik kenderaan serahkan di Pusat Pemeriksaan Imigresen (Thailand) Padang Besar.

Penulis bersama barisan jurulatih Gombak TOT United di Bangkok Futsal Arena

Atas penerangan baik diberikan oleh wakil kedai tersebut, kami mengambil pakej insurans Compulsory dan Voluntary yang bernilai RM159.

Insurans Compulsory adalah untuk melindungi pemandu dan penumpang sekiranya kenderaan menghadapi kemalangan di sana. Tetapi, ia tidak melindungi kenderaan kita atau kenderaan yang dilanggar.

Manakala, insurans Voluntary pula melindungi kenderaan kita serta kenderaan yang dilanggar dan perlindungan tambahan kepada penunggang (motosikal) atau pemandu serta penumpang.

Untuk makluman, pelancong Malaysia tidak perlu memohon lesen antarabangsa kerana lesen memandu yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sah digunakan di sana.

1,000 Kilometer Yang Indah

Selesai penyerahan segala dokumen diperlukan untuk membawa masuk kenderaan dan urusan imigresen di sebelah Padang Besar (Thailand), kami memulakan perjalanan ke Bangkok pada jam 1.00 petang waktu Thailand (2.00 petang waktu Malaysia).

Perjalanan sepanjang kira-kira 1,000 kilometer itu dilalui dengan cukup tenang oleh kami berlima walaupun lebih 10 kali tidur dan terjaga tetapi masih belum tiba di Bangkok.

Keadaan jalan raya yang cukup baik membuatkan laluan perjalanan tanpa tol (selain ketika memasuki bandar Bangkok) itu dinikmati tanpa sebarang masalah.

Sebaik sahaja keluar dari sempadan Padang Besar

Stesen minyak pelbagai jenama dapat dilihat sepanjang perjalanan jauh dan pastinya stesen PTT menjadi pilihan kami kerana terdapat surau, kedai serbaneka 7E serta tandas yang bersih.

Pemandangan di sepanjang perjalanan juga ada ketikanya mencuri tumpuan dengan deretan kedai menjual pelbagai jenis buah-buahan atau produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mengikut daerah.

Tarikan utama di tepi jalan kawasan Cumphon.

Dalam pada itu, had laju yang ditetapkan oleh kerajaan Thailand di jalan raya hanyalah sekitar 90km/j.

Setelah mengharungi segala onak duri dan cabaran baharu di tempat orang, kami tiba di Bangkok pada jam 6.00 pagi, ini bermakna hampir 24 jam kami berada dalam kereta menuju ke Bangkok.

Setibanya di sana, kami terus menuju ke hotel penginapan di Bangkapi iaitu Baron Residence Bangkok yang berharga RM120 untuk satu malam untuk berehat selama beberapa jam sebelum menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Asia Futsal di Huamark Indoor Stadium, Ramkamhaeng.

Pengalaman pemanduan di Thailand

Seperti diketahui harga minyak di sana memang agak mahal. Pertama kali kami mengisi minyak di Chumphon kira-kira selepas lima jam lebih perjalanan, harga minyak bagi 1 Liter bersamaan 43.40 baht (RM5.56).

Sepanjang berada di Thailand sehingga hari Isnin, kami mengisi minyak sebanyak sembilan kali dimana nilai keseluruhan adalah sebanyak 7,000 baht (RM899.21).

Oleh kerana mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk di kota Bangkok terutamanya sewaktu ke Bangkok Futsal Arena untuk aksi separuh akhir kedua dan perlawanan akhir Piala Asia Futsal serta ke Thammasat Universiti cawangan Rangsit, kami beberapa kali menggunakan lebuh raya dan ia menelan belanja kira-kira 500 hingga 1,000 baht (RM64.21 hingga RM128.39).

Papan tanda di Thailand agak berbeza berbanding di Malaysia kerana papan tanda yang menunjukkan lebuh raya tol adalah berwarna biru manakala hijau pula untuk jalan biasa.

Lebuh raya di Thailand juga cukup berbeza kerana mempunyai banyak laluan yang membolehkan kenderaan membuat pusingan ‘U’.

Anda juga jangan terkejut sekiranya melihat penunggang motosikal di sana tidak memakai topi keledar. Malah, ada motosikal ditunggang oleh tiga orang dewasa dan ia merupakan perkara normal di sana.

Anda tidak akan dengar begitu banyak bunyi hon walaupun ada pemandu atau penunggang motosikal yang gemar keluar masuk simpang serta melakukan pusingan ‘U’ dengan suka hati dan tanpa rasa segan masuk ke jalan orang lain.

Sementara itu, pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang di belakang turut diwajibkan dan denda bernilai 3,000 baht dikenakan bagi anda yang ingkar dengan peraturan tersebut.

Tali pinggang keledar lebih menjadi keutamaan mereka berbanding penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar.

Kehebatan kereta jenama Malaysia

Pasti anda pembaca pernah menikmati perjalanan seperti ini danĀ  mungkin lebih jauh destinasinya, tetapi ia jelas merupakan pengalaman cukup berharga buat penulis dan empat lagi rakan.

Dengan menggunakan Perodua Alza, perjalanan lebih 3,000KM itu membuktikan ‘kehebatan’ sebenar jenama tempatan itu.

Tiada sebarang masalah dihadapi dengan izin Allah, kami selamat sampai ke Gombak pada jam 5.35 pagi Selasa (semalam).