Selepas menutup operasinya sejak tahun 2020, pusat beli-belah Capital City Mall di Tampoi, Johor Bahru kini berada di landasan untuk kembali beroperasi menerusi kemasukan pasar raya ikonik dari Singapura, Mustafa Centre.

Peruncit yang cukup terkenal di Syed Alwi Road, Little India itu dilaporkan telah memulakan kerja-kerja ubah suai bagi ruang niaga seluas 240,000 kaki persegi di aras bawah pusat beli-belah berkenaan.

Cawangan di Johor Bahru ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurut perancangan semasa, Mustafa Centre menyasarkan pembukaan cawangan tersebut sebelum suku pertama tahun 2027 (Q1 2027), petik Citizens Journal.

Langkah ini menghidupkan semula harapan penduduk Johor Bahru dan pengunjung dari Singapura yang telah lama menantikan pembukaan semula pusat beli-belah di Tampoi itu.

Sasaran Pembukaan dan Status Semasa Mustafa Centre

Mustafa Centre pertama kali mengumumkan hasrat untuk menembusi pasaran Malaysia pada Januari 2023 menerusi perjanjian pembelian 591 unit ruang niaga di Capital City Mall bernilai RM368 juta. Selepas tiga tahun, kerja-kerja ubah suai akhirnya mula dijalankan.

Walau bagaimanapun, tarikh sasaran sebelum Q1 2027 masih tertakluk kepada beberapa proses penting yang sedang diselesaikan:

Pemuktamadan Pembelian: Urusan pembelian kesemua 591 unit ruang niaga oleh pihak Mustafa masih dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Kelulusan Pihak Berkuasa: Setakat Jun 2026, hanya 55 daripada 591 unit tersebut yang telah memperoleh kelulusan Seksyen 433B (kelulusan pemilikan hartanah bagi pihak asing).

Suntikan RM50 Juta Untuk Hotel dan Pangsapuri Servis

Memetik Citizens Journal lagi, selain kemasukan Mustafa Centre, pembangunan di bahagian atas pusat beli-belah tersebut turut menerima nafas baharu. Dua syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Johor Bahru, SKS Group dan MB World Group telah membeli blok hotel serta empat blok kediaman di lokasi tersebut dengan nilai sekitar RM50 juta.

Pengambilalihan ini merangkumi perancangan untuk membangunkan sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan 315 bilik serta empat blok pangsapuri servis yang menempatkan 1,320 unit kediaman.

Kerja-kerja pembinaan bagi komponen atas ini disasarkan bermula seawal Q1 2027 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2028.

Namun, urusan ini tidak melibatkan podium pusat beli-belah yang masih kekal di bawah pemilik sedia ada, manakala jenama bagi hotel berkenaan masih belum diumumkan.