Penyokong Perak Bison nampaknya belum boleh duduk tenang selagi tidak mengetahui status tekong import Thailand, Pornthep Tinbangbon bersama pasukan itu bagi menghadapi baki tiga lagi saingan STL 2026.

Situasi ini boleh dikatakan hampir sama seperti peminat K-Pop yang ternanti-nanti pengumuman rasmi mengenai masa depan artis kesayangan mereka, khususnya apabila timbul desas-desus mengenai perubahan dalam sesebuah kumpulan.

Segalanya bermula selepas timbul khabar angin mengatakan saingan Grand Prix (GP) Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan penampilan terakhir Pornthep bersama Perak Bison.

Separuh Akhir

Masa Depan Pornthep Tinbangbon Jadi Perhatian

Keadaan menjadi lebih menarik apabila Pornthep menerusi akaun media sosialnya memuat naik ucapan penghargaan kepada seluruh barisan pengurusan, rakan sepasukan dan penyokong Perak Bison.

Dalam hantaran tersebut, Pornthep meluahkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan itu selain berterima kasih atas segala usaha, semangat dan sokongan yang diberikan sepanjang pertandingan.

Beliau turut menegaskan bahawa sudah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin serta akan sentiasa bersedia untuk terus bersama dan memberikan sokongan kepada pasukan.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan tidak menyebut secara jelas bahawa Pornthep akan meninggalkan Perak Bison.

Disebabkan itu, penyokong masih tertanya-tanya sama ada tekong berpengalaman dari Thailand itu akan terus menyarung jersi Perak Bison atau GP Kuala Lumpur menjadi aksi terakhirnya bersama pasukan tersebut.

Sudah kelihatan ‘pages’ sepak takraw di media sosial yang membuat kesimpulan bahawa Pornthep sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada Perak Bison.

Penyokong Perak Bison Tak Senang Duduk, Status Pornthep Tinbangbon Jadi Tanda Tanya

Bagaimanapun buat masa ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak Perak Bison mahupun Pornthep Tinbangbon mengenai perkara berkenaan.

Nampaknya, selagi belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan, selagi itulah penyokong Perak Bison perlu menunggu dengan penuh debaran untuk mengetahui perkembangan masa depan pemain kesayangan mereka itu.

Pornthep Tinbangbon yang berusia 31 tahun tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kemampuan hebatnya apabila membantu Perak Bison muncul juara GP Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Manakala di GP Melaka pula Perak Bison melangkah ke final tetapi tewas kepada Melaka Titans.

Ketika ini Pornthep sudah kembali ke Bangkok untuk menyertai Ratchaburi Takraw Club untuk menghadapi pusingan kelayakan Thailand Takraw League (TTL) 2027 yang berlangsung pada 4 hingga 7 Disember nanti.

Menarik untuk disaksikan adakah beliau akan kembali bersama Perak Bison atau sebaliknya. Sama-sama kita nantikan!