Pengguna telefon pintar di Malaysia bakal menerima pendedahan awal mengenai sistem amaran kecemasan baharu negara menerusi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini.
Diperkenalkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 23 November lalu, MySiren dibangunkan bagi membantu pihak berkuasa menyampaikan maklumat kecemasan kepada orang ramai dengan lebih pantas dan bersasar.

Menariknya, sistem ini tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus untuk menerima amaran.
Bagaimana MySiren berfungsi?
MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan mesej amaran dihantar secara terus kepada telefon pintar yang serasi dalam kawasan geografi tertentu.
Berbeza dengan sistem pesanan ringkas (SMS) biasa yang dihantar kepada nombor telefon individu, teknologi CBS menyalurkan mesej kepada peranti yang berada dalam kawasan liputan rangkaian terpilih.
Kaedah ini membolehkan pihak berkuasa menyampaikan amaran kepada orang ramai di kawasan yang dikenal pasti tanpa perlu menghantar mesej secara berasingan kepada setiap pengguna.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), teknologi ini berupaya menyampaikan amaran dalam tempoh kurang satu minit, berbanding penghantaran SMS pukal yang boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih.
MySiren juga berfungsi sebagai pelengkap kepada saluran penyampaian maklumat kecemasan sedia ada, khususnya bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan ancaman keselamatan dengan lebih cepat.
Pada peringkat awal, sistem ini memberi tumpuan kepada penyampaian amaran berkaitan bencana seperti banjir dan tanah runtuh sebelum diperluas kepada insiden lain, termasuk kebakaran serta kes kehilangan individu atau kanak-kanak.
Telefon pintar perlu memenuhi keperluan minimum
Walaupun MySiren tidak memerlukan aplikasi khusus, pengguna perlu memastikan telefon masing-masing mempunyai sistem operasi dan tetapan amaran kecemasan yang sesuai.
Antara keperluan minimum sistem operasi yang dimaklumkan MCMC ialah:
-
- Apple: iPhone 11 dan model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau versi terkini.
- Android: Android 12 atau versi terkini.
- Huawei: EMUI 16 atau versi terkini.
Pengguna juga disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan amaran kecemasan diaktifkan, sekiranya tersedia pada peranti masing-masing.
Bagi pengguna iPhone, semak tetapan Government Alerts di bahagian Notifications.
Pengguna Android pula boleh mencari pilihan Wireless Emergency Alerts (WEA) atau tetapan berkaitan amaran kecemasan pada peranti masing-masing.
Bagaimanapun, memenuhi keperluan minimum sistem operasi tidak bermakna setiap telefon secara automatik boleh menerima amaran MySiren.
Penerimaan amaran turut bergantung pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G di kawasan berkenaan.
Ujian serentak di seluruh negara pada 29 November
Sebagai persediaan sebelum pelaksanaan sistem ini diperluas, ujian penerimaan MySiren akan dijalankan secara serentak di seluruh negara pada 29 November ini, dari 10.10 hingga 10.30 pagi.
Ujian berkenaan bertujuan membiasakan orang ramai dengan mesej dan bunyi amaran MySiren, selain menguji keupayaan sistem menyampaikan notifikasi kepada telefon yang serasi.
Justeru, orang ramai disaran memastikan peranti masing-masing dikemas kini sebelum tarikh ujian dan tidak panik sekiranya menerima mesej amaran tersebut.
Sekiranya menerima amaran kecemasan sebenar pada masa akan datang, pengguna perlu membaca mesej yang dipaparkan dengan teliti serta mengikuti arahan pihak berkuasa.
Untuk maklumat lanjut mengenai MySiren dan persediaan peranti, orang ramai boleh merujuk laman rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my/mysiren.