Bermula daripada sebuah kedai perkakasan sederhana di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Julai 2005, jenama peruncitan kelengkapan rumah terkemuka dari Malaysia, MR.DIY, bakal meluaskan empayarnya ke pasaran China.

Menerusi laman web rasmi MR.DIY China, syarikat tersebut telah mengesahkan kehadirannya menerusi satu pengumuman.

Bertapak di Hab Ekonomi Shenzhen

Bagi menggerakkan operasi runcit di negara itu, MR.DIY menubuhkan entiti tempatan yang didaftarkan atas nama Shenzhen Di’aiwai Enterprise Management Co., Ltd. dengan ibu pejabat korporat terletak di Qianhai Chow Tai Fook Finance Tower, Zon Kerjasama Shenzhen–Hong Kong Qianhai, Daerah Nanshan, Shenzhen.

Walaupun senarai rasmi lokasi pusat beli-belah bagi cawangan pertamanya masih belum didedahkan secara umum di portal syarikat, aktiviti pengambilan tenaga kerja bagi jawatan pengurusan dan penyeliaan cawangan menunjukkan tumpuan awal MR.DIY di sekitar koridor Wilayah Guangdong yang meliputi Shenzhen, Guangzhou, dan Foshan.

Konsep Ringkas, Fokus kepada Nilai

Bagi memenuhi cita rasa pengguna di China yang mementingkan praktikal dan gaya hidup moden, MR.DIY China memperkenalkan sekitar 6,000 jenis produk.

Tawaran ini merangkumi kategori utama seperti kelengkapan rumah, hiasan dalaman dan tekstil, peralatan dapur, aksesori gaya hidup, perkakasan, alat tulis, serta mainan dan barangan sukan.

Selain itu, MR.DIY turut mengetengahkan rangkaian produk jenama sendiri (MR. DIY BRAND) yang dibangunkan melalui kerjasama terus bersama pengeluar terkemuka global bagi mengekalkan standard keselamatan, kualiti yang baik, dan harga yang mampu milik.