Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menempelak kenyataan terbaharu yang dikeluarkan bekas pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Yusoff mengatakan calon presiden FAM perlu mendapat restu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kerana baginda mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan sukan tersebut.
Ab Ghani berpendapat bahawa tindakan tersebut adalah sesuatu yang janggal dan tidak kena pada tempatnya serta sebagai satu tindakan memulakan naratif politik menjelang pemilihan Exco badan induk itu.

Ab Ghani Anggap Naratif Sudah Bermula
“Nampaknya politik untuk pemilihan Exco FAM sudah pun bermula. Agak janggal kenyataan bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang menyatakan calon presiden perlu mendapat restu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, padahal yang memutuskan siapa yang menjadi presiden baharu adalah semua wakil daripada ahli gabungan FAM.”
“Mungkin beliau cuba memberi mesej atau memainkan naratif kepada semua yang memilih bahawa dia yang juga bekas pemangku presiden sudah mendapat restu sebelum ini.”
“Saya percaya ‘restu’ terbabit tiada,” ujar beliau menurut sumber laporan Berita Harian.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa pandangan yang dilontarkan oleh Yusoff adalah bersifat peribadi semata-mata dan sama sekali tidak menggambarkan situasi sebenar yang sedang berlaku dalam badan induk bola sepak negara tersebut.
Menurut Ab Ghani, kenyataan sedemikian dianggap tidak berasas memandangkan struktur kepimpinan FAM ketika ini masih dalam fasa peralihan tanpa sebarang lantikan tetap.
“Pandangan beliau adalah pandangan peribadinya dan tidak melambangkan situasi sebenar dalam FAM yang pada masa ini tidak mempunyai sebarang lantikan Ahli Jawatankuasa Eksekutif,” tambahnya beliau lagi.