Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu selepas memperoleh 20 undi dalam pemilihan yang berlangsung menerusi Kongres Luar Biasa FAM di Wisma FAM hari ini.
Beliau menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Dr. Shahril Mokhtar yang hanya memperoleh lima undi daripada keseluruhan 25 undi yang dibuat oleh perwakilan.
Keputusan tersebut menyaksikan Ab Ghani diberikan mandat untuk mengetuai badan induk bola sepak negara bagi baki penggal 2025-2029 selepas jawatan berkenaan menyaksikan persaingan dua penjuru antara beliau dan Shahril.
Ab Ghani bukan nama asing dalam pentadbiran bola sepak negara apabila sebelum ini menerajui Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Shahril pula merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran bola sepak serta sektor korporat.
Sementara itu, jawatan Naib Presiden 1, Datuk Seri Rosmadi Ismail turut mendapat mandat selepas memperoleh 15 undi. Beliau menewaskan dua pencabar, Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar yang masing-masing menerima lima undi.
Sementara itu, Datuk Saaran A/L Nadarajah berjaya memenangi jawatan Naib Presiden 3 selepas menewaskan Afizal Abu Othman. Saaran menang selepas mendapat 18 undian.
Sementara itu difahamkan berdasarkan statut yang dipinda badan induk bola sepak itu sebelum ini telah menetapkan jawatan Naib Presiden 2 tidak dipertandingkan dan akan diisi secara automatik oleh Presiden MFL.
Pemilihan kali ini diadakan bagi melengkapkan barisan kepimpinan FAM untuk baki penggal 2025-2029 selepas berlaku perubahan besar dalam struktur kepimpinan badan induk bola sepak negara. Sebanyak 25 perwakilan terlibat dalam proses pemilihan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.
Kini, Ab Ghani bersama barisan kepimpinan baharu akan menggalas tanggungjawab mengemudi FAM sehingga penghujung penggal 2025-2029, dengan tumpuan pastinya terarah kepada hala tuju pentadbiran serta perkembangan bola sepak negara.
Senarai Penuh Pemenang Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Baki penggal 2025-2029
Presiden: Datuk Ab Ghani Hassan (20 undi)
Naib Presiden 1: Datuk Seri Rosmadi Ismail (15 Undi)
Naib Presiden 3: Datuk Saaran A/L Nadarajah (18 Undi)
Ahli Jawatankuasa Eksekutif FA
1) Mohd Azizudin Mohd Shariff (19 undi)
2) Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin (19 undi)
3) Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil (15 undi)
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (FC – Kelab MFL/ AFL/ LWN/ MPFL)
1) Datuk Kamarudin Haji Hassan (15 undi)
2) Datuk Syed Mahadi Syed Hassan (15 undi)
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Profesional – PJBM/ PFAM/ Persatuan Pengadil)
Dato’ Zainal Abidin Hassan (22 undi)
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Wanita)
Dato’ Suraya Yaacob (15 undi)