Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan penyebaran ‘surat layang’ yang dihantar menerusi e-mel di media sosial mengenai isu salah laku dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga membabitkan pasukan Harimau Malaya.

E-mel tersebut turut dihantar kepada pihak media oleh seorang pengirim yang tidak diketahui identiti sebenar dan menggunakan nama UltrasFAM.

Baca Juga:

Penyebaran e-mel itu berlaku sehari sebelum Kongres Tahunan buat kali Ke-60 FAM yang berlangsung pada hari esok.

Empat perkara utama yang dibangkitkan dalam e-mel tersebut ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, isu gaji yang melibatkan pekerja FAM, isu pasukan kebangsaan dan projek pusat latihan.

Pengirim ini turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana proses tender dijalankan di FAM dan siapa individu yang terlibat.

Selain itu, ada juga pendedahan mengenai salah seorang staf FAM dibuang kerja kerana tuduhan mencuri walaupun tiada bukti kukuh terhadapnya demi melindungi penjenayah sebenar.

“Sehingga kini, iaitu dalam tempoh tiga bulan, hampir 12 orang pekerja FAM telah meletakkan jawatan dan yang paling ketara ialah 5 orang staf dari pejabat President FAM,” jelas kenyataan e-mel itu.

Malah, penulis surat layang tersebut turut menjelaskan punca bekas penolong pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Kamarul letak jawatannya selepas selesai tugasan Piala Asia 2023 di Qatar.

Ianya sekaligus menjawab kepada persoalan peminat mengenai apakah sebenarnya yang berlaku kepada skuad kebangsaan selepas pulang dari Doha.

“Kem Pasukan Kebangsaan kali ini bergolak dengan pelbagai isu-isu dalaman. Selaku staf FAM, kami mendengar ada banyak masalah ketika kem Latihan, dan kami tidak akan terkejut jika Malaysia tidak layak ke Piala Asia 2027.

“Cuba bayangkan hari Latihan di FAM, kitman pun tak ada, kitman lama tidak dibayar gaji dan beberapa staff lagi yang berkhidmat semasa Asian Cup tidak mahu kembali ke FAM kerana sikap Setiausaha Agung dan Presiden,” – petikan yang terdapat padaΒ  e-mel itu.

Lebih menarik, nama Ultras Malaya turut disebut dengan dakwaan kumpulan penyokong itu kini telah dibeli oleh FAM.

“Beberapa individu UltrasMalaya pula selalu mengunjungi FAM, untuk berjumpa dengan Presiden FAM dan Setiausaha Agung, bukan untuk bebicara mengenai Pasukan Kebangsaan tetapi untuk mendapatkan bisnes,” ulas kenyataan dalam e-mel itu.

Sehingga artikel ini ditulis, FAM belum mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pengirim misteri tersebut.