Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka memantau perkembangan pemain kacukan yang beraksi di liga luar negara.

Perkara ini disampaikan oleh Setiausaha Agung badan itu, Datuk Noor Azman Rahman dalam satu sidang media di Wisma FAM baru-baru ini.

Baca Juga:

Menurut beliau, pihaknya akan mengenal pasti mana-mana pemain yang mempunyai kaitan dengan Malaysia dan melihat sama ada pemain itu cukup bagus untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

β€œKita akan mengenal pasti dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai pemain kacukan. Cuma, pada hujungnya semua terpulang kepada ketua jurulatih.

β€œKim Pan-gon dan Juan Torres Garrido akan menilai sama ada pemain ini sesuai untuk dipanggil. FAM sendiri sudah memberi tiga atau empat pemain kepada Juan Torres,” katanya.

Selepas pasukan negara layak ke Piala Asia, terdapat lambakan pemain yang dilaporkan memiliki kaitan dengan Malaysia sekaligus boleh dipanggil bagi memperkuatkan pasukan negara.

Antara yang menjadi perhatian ialah Ferdy Druijf dimana beliau ketika ini beraksi bersama kelab Eredivisie Belanda, PEC Zwolle secara pinjaman dari kelab Austria, SK Rapid. Tinjauan di laman Instagram miliknya menunjukkan Druijf sudah mengikuti laman FAM.

Menurt perkongsian Future Talents di laman media sosial X, Druijf memiliki pertalian dengan Malaysia melalui ibunya namun tidak menyebut secara jelas dari negeri mana ibunya berasal.

Pemain berusia 25 tahun itu boleh beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan dimana beliau mampu untuk beraksi sebagai penyerang dan juga pemain nombor 10.

Seterusnya ada Nishan Velupillay dimana pemain ini dilaporkan memiliki darah campuran Australia-Malaysia dan beraksi sebagai penyerang bersama kelab Melbourne Victory di liga utama Australia.

Memiliki ketinggian 181 cm, Velupillay juga dipanggil memperkuatkan pasukan B-23 Australia namun masih berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya di masa depan dengan syarat tiada cap antarabangsa dengan skuad senior Australia.

Apa yang pasti, FAM dan staf kejurulatihan skuad kebangsaan perlu membuat kajian serta membuat penelitian yang kukuh bagi memastikan sama ada pemain kacukan yang bakal dipanggil mempunyai kualiti yang cukup untuk memperkasa Malaysia di peringkat antarabangsa.