Malaysia membawa pulang satu mata berharga selepas berjaya seri dengan Korea Selatan di kejohanan Piala Asia 2023 selepas jalan yang ditempuh berliku pada dua perlawanan awal.

Gol dari Faisal Halim, Arif Aiman dan jaringan penuh dramatik minit akhir dari Romel Morales telah meninggalkan detik manis buat kebanyakan rakyat Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kita datang sebagai pasukan kecil, tewas dua perlawanan awal, namun siapa sangka dapat seri dengan satu pasukan terbaik Asia.

Jika anda perasan di kaca TV semalam, seorang rakyat Malaysia dengan rambut perang menitiskan air mata telah tular di media sosial.

Reaksi beliau telah membuatkan ramai penyokong bola sepak negara terharu, di tambah pula apabila momen itu datang ketika menyaksikan pasukan negara bangkit menjinakkan jaguh Asia.

Rupa-rupanya, ada kisah menarik di sebalik tangsisan sayu abang rambut perang.

Melalui perkongsian pengguna Facebook, Nordin Mat, difahamkan nama sebenar abang rambut perang adalah Derrick Gan, seorang lelaki berbangsa Cina dari Melaka.

“Semasa siaran langsung semalam, memang mata saya terpandang momen seorang lelaki yang tidak dapat menahan perasaan dan menangis ketika Malaysia mendahului 2-1 dengan Korea Selatan.

“Kita yang menonton di televisyen pun teruja dan menjerit , apatah lagi kalau berada di dalam stadium menyaksikannya.

“Rupanyan ada kisah menarik di sebalik wajah Derrick Gan dari Melaka ini,” katanya.

Pengorbanan beliau ke Qatar sebenarnya tidak boleh diperkecilkan, Derrick difahamkan sanggup menjual motosikalnya demi menampung perbelanjaan untuk menonton Malaysia bermain di Piala Asia.

“Beliau sanggup menjual motosikal dengan harga RM4,500 pada bulan Disember lalu demi ingin turut serta menonton Piala Asia di Qatar.”

Bagi Nordin, Derrick adalah lambang kepada semangat patriotik dan cintakan negara bagi menyumbang sokongan serta sorakan kepada pasukan Harimau Malaya.

Perkongsian Nordin ini telah membuatkan ramai orang terharu dengan kebanyakkan netizen berbangga dengan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh Derrick.

Untuk rekod, episod perjuangan Harimau Malaya di pentas Piala Asia Qatar tamat semalam dengan perlawanan akhir peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan.

Walaupun tewas pada dua perlawanan awal menentang Jordan dan Bahrain, anak didik Kim Pan Gon sebenarnya boleh berbangga apabila berjaya mengutip satu mata dan memberi saingan sengit kepada Korea Selatan yang dibarisi pemain-pemain bintang.