Muangthong United dan Selangor berkongsi mata dalam perlawanan sulung saingan Kumpulan H Asian Champions League Two (ACL 2) 2024/25 selepas seri 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.
Aksi yang memperlihatkan penyokong Selangor seakan-akan lebih ramai berbanding peminat tuan rumah akibat beberapa faktor menyaksikan Muangthong United bermula baik dengan dua percubaan menerusi Kakana Khamyok.
Baca Juga:
- ACL 2: Selangor Turunkan Barisan Terkuat Menentang Muangthong United
- Ultras Muangthong United Boikot Aksi ACL Bertemu Selangor
- Selangor Dapat Tawaran Lumayan Untuk Reziq Bani Hani
Namun, percubaan penyerang tersebut pada minit ketiga sedikit melewati palang manakala dua minit kemudian, rembatannya diselamatkan penjaga gol Selangor, Muhammad Azim Al-Amin.
Selangor kemudiannya memperkemaskan aksi dan mendapat peluang terbaik pada minit kelapan dan ke-12 menerusi Alvin Fortes dan Alvin Fortes.
Percubaan Fortes dalam kawasan penalti diselamatkan Kittipong Phoothawchuek manakala penjaga gol tersebut menafikan percubaan Ali Olwan ketika situasi satu lawan satu.
Langkah Nidzam Jamil memasukkan Yohandry Orozco di awal babak kedua jelas membuahkan hasil apabila pemain tengah itu melorongkan cantik bola kepada Ronnie Fernandez untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-47.
Walaupun berada di sudut yang sedikit sempit, Fernandez melakukan percubaan yang berjaya menewaskan Kittipong.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain Selangor dan skuad Gergasi Merah hampir menambah gol berselang dua minit kemudian.
Fortes sudah berjaya melepasi kawalan Tristan Do dalam kawasan penalti tetapi rembatannya digagalkan kecemerlangan Kittipong.
Selangor hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-53, namun jaringan mereka terpaksa dibatalkan kerana ketua pasukan, Safuwan Baharudin terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Hanya seminit kemudian, Muangthong United berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan susulan Purachet Thodsanit selepas rembatan awal Tristan Do diselamatkan Azim Al-Amin untuk kedua-dua pasukan kembali terikat.
Aksi selepas itu semakin menarik untuk disaksikan dengan Kittipong dan Al-Azim mempamerkan kecekapan mereka dalam menafikan percubaan lawan masing-masing.
Kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata pada perlawanan sulung ini.