Ultras Muangthong United bertindak boikot dan tidak akan hadir ke stadium memberi sokongan kepada pasukan mereka pada aksi pertama AFC Champions League Two (ACL 2) bertemu Selangor hari ini.
Keputusan tersebut dibuat kerana mereka tidak setuju dengan tindakan pengurusan kelab itu memilih Stadium Rajamangala sebagai venue rasmi untuk saingan ACL 2.
Baca Juga:
- ACL 2: Selangor Turunkan Barisan Terkuat Menentang Muangthong United
- Senarai Lengkap 32 Kelab AFC Champions League Two 2024-2025
- Selangor Kaji Kelemahan Sebelum Lawan Pasukan Setaraf JDT Di Asia
“Menukar venue pertandingan dari Muangthong ke tempat lain tidak memberi sebarang kelebihan dan bakal kehilangan lebih ramai penyokong sendiri.
“Perlawanan juga bermula pada pukul 5 petang (Waktu Thailand) dan ini terlalu awal serta menyukarkan penyokong untuk hadir ke stadium kerana kebanyakannya masih bekerja.
“Selain itu, penyokong juga terpaksa menempuhi kesesakan lalu lintas di Jalan Ramkhamhaeng pada waktu petang dan ini sesuatu yang sukar untuk memudahkan urusan penyokong,” tulis kenyataan rasmi Cruva Sud Muangthong.
Stadium Thunderdome merupakan gelanggang rasmi Muangthong United dalam saingan Liga Thailand musim ini dan ia turut dijadikan sebagai venue latihan pasukan Selangor selepas tiba dari Malaysia.
Meskipun ketiadaan penyokong setia, moral Muangthong United dijangka tidak terjejas dan bakal menurunkan barisan terkuat mereka.
Ini merupakan aksi sulung Selangor dalam saingan ACL 2 dan skuad kendalian Nidzam Jamil itu tekad buru kemenangan pertama.
Kali terakhir Selangor beraksi di pentas Asia ialah ketika musim 2016 dimana mereka berada dalam saingan Piala AFC namun terkandas di peringkat Kumpulan E selepas hanya menamatkan saingan di tempat ketiga daripada empat pasukan.