Selangor mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam kempen AFC Champions League (ACL) Two 2025/26 selepas tewas 0-2 ditangan Persib Bandung pada aksi ketiga yang berlangsung di Gelora Bandung Lautan Api Stadium, Jawa Barat sebentar tadi.

Kekalahan itu jelas semakin menyukarkan Selangor untuk mengintai peluang melangkah ke pusingan seterusnya.

Manakala Persib Bandung yang dibimbing Bojan Hodak memimpin kumpulan G dengan tujuh mata hasil dua kemenanga dan satu keputusan seri dicatatkan.

Beraksi di laman sendiri jelas meningkatkan moral pemain Persib Bandung untuk tampil dengan cukup bertenaga terutamanya pada babak pertama.

Pemain sayap, Uilliam Barros Pereira sering kali menjadi masalah buat jentera pertahanan Selangor dengan gerakan-gerakan lincah dijelmakannya.

Beliau turut mendapat peluang terbaik dengan dua percubaan dimiliki tetapi penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel lebih cemerlang menafikan rembatan pemain kelahiran Brazil tersebut.

Penyokong Persib Bandung melonjak kegembiraan pada minit ke-29 selepas hantaran lolos Marc Klok berjaya memperdayakan pertahanan Selangor lalu membolehkan Adam Alis Setyano menjadikan kedudukan 1-0.

Selangor kemudiannya memperkemaskan aksi pada babak kedua yang menyaksikan mereka lebih mengawal permainan dan beberapa kali mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan.

Namun, rembatan Alvin Fortes pada minit ke-51 sekadar singgah di palang gol manakala gerakan solonya ke dalam kawasan penalti berselang lima minit kemudian diselamatkan penjaga gol Persib, Teja Paku Alam.

Teja sekali lagi cemerlang dalam menepis keluar percubaan rendah dari luar kawasan penalti diledakkan Chrigor Moraes pada minit ke-58.

Dalam keghairahan Selangor untuk mendapatkan jaringan penyamaan, kesilapan Harith Haiqal Adam Afkar menyaksikan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti.

Andrew Jung yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk melebarkan kedudukan buat Persib Bandung pada minit ke-66.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Selangor terus tertekan tanpa sebarang mata dapat diraih daripad tiga perlawanan awal.