Selangor memulakan kempen AFC Champions League (ACL) Two 2025/26 dengan kekecewaan selepas tewas 2-4 di tangan Bangkok United pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya sebentar tadi.
Kekalahan tersebut nyata bukanlah permulaan yang baik buat skuad kendalian Kinoshi Katsuhito itu.
Pasukan pelawat berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas hantaran lolos Muhsen Salleh terus mencari Ilias Alhaft yang melepasi kawalan pertahanan Selangor.
Percubaan pertamanya diselamatkan Kalamullah Al Hafiz tetapi beliau pantas melakukan rembatan susulan untuk meletakkan Bangkok United dihadapan.
Wakil Thailand itu terus garang berselang empat minit kemudian apabila Muhsen Salleh menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik Jakkapan Praisuwan.
Selangor merapatkan defisit jaringan pada minit ke-23 selepas hantaran lintang Quentin Cheng disempurnakan dengan baik Chrigor Moraes.
Kegembiraan tersebut bagaimanapun hanya mampu bertahan seminit setelah Ilias menyudahkan serangan balas pantas dimana percubaannya yang membias pertahanan berjaya memerangkap Kalamullah bagi menjadikan kedudukan 3-1 buat skuad kendalian Totchtawan Sripan itu.

Tuan rumah cuba untuk bangkit pada minit ke-31, tetapi tandukan Harith Haiqal Adam Afkar menerusi situasi sepakan penjuru digagalkan penjaga gol, Patiwat Khammai.
Tuan rumah dirundung malang ketika aksi memasuki minit ke-39 ekoran kad merah diterima Harith Haiqal di atas kekasaran dilakukannya terhadap Seia Kunori yang menuju ke dalam kawasan penalti Selangor.
Selangor Cuba Bangkit
Kekurangan seorang pemain tidak dihiraukan Selangor untuk berusaha mendapatkan jaringan dimana mereka hampir mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-46.
Namun, umpanan lintang menerusi tandukan oleh Quentin gagal disudahkan Chrigor ketika pintu gol Bangkok United sudah pun terbuka luas.
Rembatan dalam kawasan penalti oleh Faisal Halim pada minit ke-62 pula dinafikan kecemerlangan Patiwat.
Ketika Bangkok United dilihat mengurangkan serangan, Selangor mendapatkan jaringan kedua menerusi Alif Izwan pada minit ke-73 selepas pemain muda itu melakukan percubaan susulan setelah Patiwat menafikan rembatan Chrigor dalam kawasan penalti menggunakan kakinya.
Tidak mahu melihat skuad Gergasi Merah itu terus bersemangat untuk menyamakan kedudukan, Bangkok United mendapatkan jaringan keempat menerusi Philipe Maia De Freitas.
Jaringan pada minit ke-84 itu terhasil selepas Maia menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil Weerathep Pomphun untuk memastikan kemenangan buat Bangkok United.