Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membawa pulang satu mata dari Pudong Football Stadium, Shanghai selepas seri 2-2 bertemu Shanghai Port pada pertemuan sulung Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 yang berlangsung sebnetar tadi.

Beraksi dihadapan ribuan penyokong tuan rumah, JDT bertahan dengan cukup baik terutamanya pada babak pertama hingga membuatkan jentera serangan Shanghai Port kehilangan idea untuk merobek gawang skuad Harimau Selatan.

Baca Juga:

Selepas percubaan hasil gerakan cantik pada minit keempat oleh Matias Vargas, skuad kendalian Kevin Muscat itu tidak mampu untuk menjelmakan serangan tepat ke arah pintu gol JDT.

Sebaliknya, Arif Aiman Md Hanapi mencuri tumpuan hasil gerakan solonya yang melepasi kawalan tiga pertahanan Shanghai Port lalu melepaskan percubaan ‘placing’ menggunakan kaki kiri dari luar kawasan penalti untuk memberikan kelebihan buat JDT pada minit ke-45.

Tekanan hebat pada babak kedua dengan aksi lebih kemas ditampilkan Shanghai Port terutamanya menerusi kelibat Oscar Emboaba jelas membuatkan jentera pertahanan JDT yang diketuai Eddy Israfilov dan Park Jun-Heong terancam.

Hanya selepas tiga minit aksi babak kedua berlangsung, Shanghai Port kembali menyamakan kedudukan menerusi Gustavo Henrique da Silva Sousa.

Jaringan penyamaan itu hadir selepas Gustavo mudah menolak masuk bola selepas percubaan awal Willian Popp diselamatkan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.

Memasuki minit ke-56, kem JDT sekali lagi melonjak kegembiraan selepas hantaran jauh Jorge Obregon dalam mencari Arif Aiman berjaya disudahkan dengan baik pemain sayap lincah itu untuk menewaskan Yan Junling buat kali kedua.

Gol itu bagaimanapun tidak merentap semangat juang Shanghai Port yang kembali menyamakan kedudukan menerusi seorang lagi pemain import, Willian Popp pada minit ke-73.

Berpunca daripada sepakan percuma leret Oscar yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh Feroz Baharudin di kawasan JDT bagi membolehkan Willian melakukan sepakan separa voli sekali gus gagal diselamatkan Zubiaurre.

Oscar mendapat peluang terbaik pada masa kecederaan dimana beliau melakukan gerakan solo ke arah kawasan penalti JDT, namun percubaan melencongnya hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan itu.

Percubaan jarak dekat Tyias Browning pada penghujung permainan juga berjaya digagalkan oleh ketangkasan Zubiaurre.

Keputusan terikat itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata pada perlawanan ini.

Aksi kedua JDT bakal menyaksikan mereka akan berhadapan dengan satu lagi kelab dari Liga Super China, Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Oktober nanti.

Manakala, Shanghai Port pula akan berkunjung ke Korea Selatan untuk bertemu Pohang Steelers.