Beraksi dengan 10 pemain tidak langsung mengganggu momentum Al-Ahli untuk mara ke separuh akhir AFC Champions League Elite (ACL Elite) 2025/26 selepas menundukkan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di King Abdullah Sports City Stadium, Jeddah sebentar tadi.
Keputusan yang menyaksikan JDT terpaksa akur dengan kebangkitan lawan meskipun skuad bimbingan Xisco Munoz itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19.
Berpunca daripada larian Jairo da Silva yang melepasi kawalan pertahanan Al-Ahli di sebelah kiri pintu gol, beliau kemudiannya melakukan hantaran lintang yang cuba dipatahkan Ali Majrashi.
Namun, usaha tersebut tidak berhasil lalu bola masuk ke gawangnya sendiri untuk memberikan kelebihan buat JDT.
Skuad kendalian Matthias Jaissle terus tertekan pada minit ke-37 apabila Majrashi diperintahkan keluar padang susulan kekasaran dilakukannya terhadap Jairo yang cukup mencemaskan.
Al-Ahli Teruskan Kemaraan Dalam ACL Elite 2025/26
Ia bagaimanapun tidak langsung merentap semangat juang pemain Al-Ahli yang masih mampu untuk menyajikan corak permainan baik sehingga mampu menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.
Gol penyamaan itu terhasil menerusi tandukan Franck Kessie hasil situasi sepakan penjuru yang diambil Wenderson Galeno untuk meningkatkan keyakinan gergasi Arab Saudi itu.
Penyokong Al-Ahli sekali lagi melonjak kegembiraan selepas rembatan padu Galeno dari luar kawasan penalti tidak mampu dinafikan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre pada minit ke-54.
Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT menggandakan asakan berbekalkan kelebihan seorang pemain yang dimiliki.
Namun, Edouard Mendy cukup kental bertahan dalam menggagalkan beberapa serangan berbahaya dilancarkan JDT sekali gus membawa Al-Ahli ke separuh akhir ACL Elite 2025/26 untuk berhadapan dengan wakil Jepun, Vissel Kobe.