Berakhirnya pusingan 16 AFC Champions League Elite (ACL Elite) 2025/26 menyaksikan empat slot ke suku akhir bagi Zon Barat sudah diketahui.

Empat pasukan tersebut bakal mengiringi empat lagi pasukan dari Zon Timur yang terlebih awal mengesahkan kemaraan iaitu Machida Zelvia, Vissel Kobe, Buriram United dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Juara bertahan, Al-Ahli terpaksa beraksi hingga ke masa tambahan untuk menundukkan wakil Qatar, Al-Duhail hasil jaringan tunggal pemain sayap lincah, Riyad Mahrez.

Dengan kemenangan tersebut, Al-Ahli akan bertemu wakil negara, JDT pada aksi suku akhir nanti.

Al Sadd dari Qatar melakar kejutan selepas membenam cabaran skuad himpunan bintang, Al-Hilal menerusi penentuan sepakan penalti selepas 120 minit aksi berkesudahan seri 3-3.

Lebih pedih buat Al-Hilal, Karim Benzema gagal menyudahkan sepakan penalti yang akhirnya menyaksikan Al Sadd menang 4-2.

Di suku akhir, Al Sadd akan menghadapi kelab gergasi Jepun, Vissel Kobe.

Sama seperti Al-Ahli, Al-Ittihad juga terpaksa berhempas-pulas untuk menewaskan Al Wahda dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jaringan kemenangan mereka dihadiahkan oleh Fabinho hasil sepakan penalti pada saat akhir ketika aksi masa tambahan babak kedua sudah memasuki 10 minit.

Kemenangan yang membawa mereka ke suku akhir untuk bertemu Machida Zelvia dari Jepun.

Manakala slot terakhir suku akhir ACL Elite 2025/26 diisi Shabab Al Ahli dari UAE yang tidak terlalu berdepan masalah untuk mengatasi kelab Iran, Tractor 3-0 sekali gus mengesahkan pertemuan menentang Buriram United.

Jadual Penuh Suku Akhir ACL Elite 2025/26

1) Al Sadd lawan Vissel Kobe – 17 April – 12.15 Tengah Malam

2) Al-Ahli lawan JDT – 17 April – 10.45 Malam

3) Machida Zelvia lawan Al-Ittihad – 18 April – 2.00 Pagi

4) Buriram United lawan Shabab Al Ahli – 19 April – 12.15 Tengah Malam