Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE) 2025/26 selepas tewas 0-2 ditangan Melbourne City pada aksi kelima yang berlangsung di Melbourne Rectangular Stadium, Australia sebentar tadi.
Sebaliknya, ia menjadi kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan skuad kendalian Aurelio Vidmar itu dalam saingan ini.
Baca Juga:
- ACL Elite 2025/26: JDT Raih Kemenangan Bergaya Atasi Shanghai Shenhua

- ACL Elite 2025/26: JDT Raih Kemenangan Sulung Selepas Tundukkan Chengdu 2-0

- ACL Elite 2025/26: Gol Suphanat, Zulj Bantu Buriram Atasi JDT

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Melbourne City cukup garang seawal minit pertama apabila Max Caputo mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan.
Caputo sudah melepasi perangkap ofsaid setelah menerima umpanan cantik Kai Trewin tetapi tandukannya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol JDT.
Pemain berusia 20 tahun itu pantas menebus kesilapan tersebut selepas tandukannya ketika situasi sepakan penjuru yang diambil Takeshi Kanamori berjaya membolosi gawang pasukan pelawat pada minit ketiga.
Tersentak dengan jaringan awal itu, anak buah Xisco Munoz memperkemaskan aksi dan tampil dengan lebih garang untuk mendapatkan jaringan.
Namun penjaga gol Melbourne City, Patrick Beach dilihat cukup kental bertahan dalam menghalang gawangnya daripada dirobek barisan pemain JDT.
Bergson da Silva hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-37 setelah menerima hantaran baik daripada Eddy Israfilov, tetapi percubaannya dalam kawasan penalti ditepis keluar Beach.
Seminit kemudian, penjaga gol kelahiran Sydney itu tidak bermasalah untuk menangkap percubaan leret dari luar kawasan penalti oleh Oscar Arribas.
Memasuki minit ke-42, Trewin sekali lagi melakukan hantaran berkualiti di hadapan pintu gol JDT, namun Kavian Rahmani yang tidak dikawal pertahanan gagal membaca umpanan tersebut dengan baik.
Tiga minit kemudian, Jairo da Silva pula kecewa selepas tandukannya dalam kawasan D digagalkan ketangkasan Beach.
Cubaan JDT Untuk Bangkit Tidak Berjaya
Babak kedua menyaksikan JDT berterusan memberikan tekanan ke arah pintu gol Melbourne City. Bagaimanapun, Beach masih kental bertahan terutamanya ketika menyelamatkan rembatan jarak dekat Bergson pada minit ke-61.
Kuisan Jairo pada minit ke-80 ketika keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol tuan rumah pula dinafikan tiang gol.
Kapten Melbourne City, Aziz Behich turut terlepas peluang keemasan untuk menambah jaringan selepas percubaannya hasil larian derasnya ke dalam kawasan penalti diselamatkan Andoni Zubiaurre pada minit ke-90.
Kem Melbourne City melonjak kegembiraan seminit kemudian apabila penyerang gantian, Medin Memeti meledakkan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol kelahiran Sepanyol tersebut sekali gus mematikan api perjuangan JDT.
Dengan kekalahan tersebut, JDT turun ke tangga keempat manakala Melbourne City mengambil alih kedudukan kedua dengan sembilan mata diraih.