Kelab Korea, Gwangju FC memohon maaf kepada peminat selepas aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite terpaksa dijalankan di stadium lain.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak kelab memohon maaf selepas perlawanan tersebut terpaksa diadakan di stadium yang jaraknya 234 kilometer dari stadium asal.
Baca Juga:
- ‘Kerajaan Siap Bantu Setiap Pasukan, Apa Lagi Anda Mahu?’ – Tunku Ismail
- ’90 Peratus Padang Dalam Negara Masih Teruk’ – Tunku Ismail
- MFL: Dakwaan Perak FC Adalah Tidak Benar
- ‘Kami Tidak Diberi Peluang Untuk Berbincang’ – Pengerusi Perak FC
“Kepada semua peminat Gwangju FC. Pertama sekali, kami ingin memohon maaf kerana perlawanan ACLE ketiga akan diadakan di Stadium Yongin Mireu dan bukannya di Gwangju.
“Sejurus selepas perlawanan pertama ACLE, kelab menerima surat rasmi yang meminta penetapan stadium gantian untuk perlawanan ketiga di tempat sendiri dan tidak dapat dielakkan, kami telah menetapkan Stadium Yongin Mireu sebagai stadium gantian.
“Kami melakukan banyak usaha, termasuk berjanji untuk menambah baik keadaan stadium Piala Dunia itu dan menetapkan satu stadium alternatif di kawasan berhampiran tetapi pada hakikatnya, Stadium Yongin Mireu adalah satu-satunya pilihan ketika ini, yang menyebabkan kekecewaan kepada peminat kami.
“Kelab ini amat menyedari betapa besar kerugian yang akan ditanggung peminat, dan akan melakukan yang terbaik untuk memberikan kemudahan kepada penonton, termasuk sokongan untuk bas ke perlawanan. Kami sekali lagi memohon maaf kerana mengecewakan peminat,” dipetik dari kenyataan itu.
Sebelum ini, bekas pemain Manchester United, Jesse Lingard tidak berpuas hati dengan kualiti padang yang dimiliki oleh kelab yang beraksi dalam saingan Liga Korea.
Lingard yang beraksi bersama FC Seoul menjadi pemain terbaru yang mengkritik kualiti padang terutama padang yang digunakan sebagai home bagi kelabnya iaitu Stadium Piala Dunia Seoul.
“Di Premier League, anda tidak perlu risau sama ada bola akan sampai ke kali anda dengan betul. Tetapi di sini (Korea) berbeza.
“Di sini anda perlu berfikir adakah bola akan sampai ke kaki anda atau tidak setiap kali beraksi. Padang yang bagus penting untuk anda bermain bola sepak dengan cara yang betul,” katanya.