Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan ada ahli GISB Holding (GISBH) yang berpoligami dengan mempunyai empat orang isteri sehingga mempunyai 34 orang anak.
Menurut laporan Berita Harian, Tan Sri Razarudin Husain, berkata operasi rumah amal dikendalikan GISB Holdings dipromosikan sebagai rumah perlindungan anak yatim dengan niat untuk menipu bagi mendapatkan sumbangan dan derma orang ramai.
Baca Juga:
- ‘Musuh, Kau Tunggu Di Akhirat Nanti’ – Ahli GISBH Beri Amaran Keras
- Lebih 300 Anak Pengikut GISBH Bakal Jalani Pendidikan Formal Mulai 1 Oktober
- GISB Masih Tenang Beroperasi Di Luar Negara
“Hasil rakam keterangan yang dibuat polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli.
“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis, mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak yang diselamatkan) itu adalah anak mereka.
“Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi ada dua anak duduk dengan dia. Kalau kita tanya apa nama anak pun mungkin dia tidak tahu nama, tak ingat rupa anak,” katanya.
Seorang individu dipercayai pernah menggangotai GISBH mendakwa organisasi tersebut mengamalkan sistem perhambaan dalam menjalankan operasi kumpulan perniagaan mereka.
Menurut laporan Berita Harian, setiap ahli GISBH didakwa dipaksa mencari dana untuk memenuhkan tabung jemaah atau syarikat, walaupun perlu bekerja sepenuh masa tanpa dibayar gaji.
Tambah individu itu lagi, ada kalanya anggota organisasi itu terpaksa meminta bantuan ahli keluarga yang bukan dalam kalangan jemaah atau syarikat.
“Mereka mewujudkan banyak rumah dan badan amal kebajikan yang juga antara kaedah mendapatkan ‘income‘ (pendapatan) yang banyak daripada masyarakat awam.
“GISBH mengamalkan sistem ‘ma’ash’ (keperluan), menggantikan sistem pendapatan dengan pekerja perlu kerja sepanjang hari dan membuat pelbagai pekerjaan, kerja lebih masa atau dihantar ke luar negara, namun tidak diberikan gaji dalam bentuk wang.
“Mereka diberi makan, minum dan tempat tidur, selain perkahwinan diuruskan sesama ahli,” katanya.