Muhammad Addin Naufal Rahmad merupakan salah seorang daripada 15 pemain skuad futsal SUKMA Selangor yang berjaya membawa pulang pingat emas sulung sukan tersebut buat negeri itu.
Pada perlawanan akhir yang dibanjiri kehadiran para penyokong Sarawak, Selangor tenang menghadapi tekanan tersebut untuk mencatatkan kemenangan 2-0.
Baca Juga:
- Selangor Muncul Juara Futsal SUKMA 2024
- Futsal SUKMA 2024: Sarawak, Selangor Bakal Berentap Di Final
- SUKMA 2024: Skuad Futsal Selangor Sasar Raih Pingat Emas
Beraksi selaku penjaga gol atau lebih dikenali sebagai ‘Goleiro’, Addin Naufal turut mempamerkan ketangkasannya dalam menggagalkan percubaan demi percubaan dijelmakan barisan pemain tuan rumah.
Lebih menarik untuk diperkatakan, anak muda kelahiran Selayang itu langsung tidak dibolosi pada dua perlawanan berturut-turut (termasuk ketika aksi separuh akhir bertemu Pulau Pinang).
Namun disebalik aksi cemerlang ditampilkan, terdapat kisah menarik yang jelas menjadi azimat berguna buatnya hingga berjaya membantu pasukan meraih kejayaan.
Dugaan berat sebelum kecapi kejayaan
Bermula dengan sesi latihan pusat bersama dua lagi rakan di posisi yang sama, seorang demi seorang meninggalkan Addin dalam menggalas tanggungjawab besar itu.
Salah seorangnya digugurkan kerana barisan kejurulatihan memilih untuk hanya membawa dua penjaga gol dan perkara yang tidak diingini berlaku hanya beberapa hari sebelum terbang ke Sarawak.
Hal ini kerana seorang lagi penjaga gol telah membuat keputusan mengejut dengan menarik diri pada saat akhir.
Satu tamparan hebat buat Addin yang pada ketika itu turut dibelenggu kecederaan lutut iaitu koyak separa di bahagian Medial Collateral Ligament (MCL) dan Anterior Collateral Ligament (ACL) serta Meniscus Inflammation.
Dengan hanya Addin Naufal sebagai satu-satunya ‘pure’ penjaga gol dalam pasukan dibawa ke Sarawak, barisan kejurulatihan bertindak pantas mencari inisiatif dalam melatih dua lagi pemain daripada posisi lain yang mempunyai potensi menjadi penjaga gol untuk dijadikan sebagai ‘backup’ sekiranya sebarang kemungkinan berlaku.
Kemungkinan yang tidak diingini itu akhirnya berlaku juga ketika sesi ‘test court’ diadakan pada 12 Ogos, iaitu sehari sebelum aksi pertama menentang seteru utama, Johor.
Susulan dengan itu, jariĀ pada tangan kirinya mengalami kecederaan dan Addin terpaksa bermain menentang Johor dalam keadaan kesakitan tetapi masih mampu menghadiahkan kemenangan buat Selangor.
Ujian imbasan sinar-X yang dibuat sehari kemudian juga mengesahkan bahawa Addin Naufal telah mengalami patah tulang kecil pada jari manisnya.
Beraksi dengan pelbagai kecederaan
Walaupun dinasihatkan oleh doktor supaya berehat dan tangannya disimen bagi proses pemulihan, Addin tetap fokus dengan misinya untuk membantu Selangor hingga meraih pingat emas.
Saranan itu langsung tidak dihiraukannya dan mengharungi perlawanan demi perlawanan dengan kecederaan lutut iaitu dan patah tulang jari.
Pengorbanan besar dan ‘kedegilannya’ itu dibalas dengan hasil cukup lumayan apabila beliau bangkit daripada kesilapan ketika bertemu Pahang untuk mengemudi gawangnya dengan penuh yakin.
Kesakitan dirasai tidak dihiraukannya sehinggalah kemuncaknya pada 22 Ogos lalu dimana Addin beraksi cukup cemerlang dalam membantu Selangor muncul juara acara futsal buat pertama kali.
Kisah pengorbanan demi impian serta ujian besar yang membuatkan Addin Naufal kuat sehingga berjaya merealisasikan hasratnya untuk pulang selaku pemenang pingat emas SUKMA 2024.
Kini segala kesakitan dan kepayahan itu membuahkan hasil!