Nasib berbeza dialami dua pasukan pilihan dalam acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 iaitu Selangor dan Johor apabila skuad Gergasi Merah meraih kemenangan kedua manakala negeri yang terkenal dengan julukan Harimau Selatan pula mengalami kekalahan ketiga berturut-turut.

Keadaan yang menyaksikan Selangor menduduki tangga teratas kumpulan B dengan enam mata selepas dua perlawanan manakala perjalanan Johor untuk mara ke suku akhir semakin sukar.

Baca Juga:

Beraksi berdepan Perak yang mengejutkan Johor petang semalam menyaksikan Selangor diberikan tentangan sengit skuad kendalian Ali Mahat itu.

Selangor tidak menunggu lama untuk berada dihadapan selepas percubaan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dari luar kawasan D berjaya membolosi gawang Perak seawal minit pertama.

Perak menyamakan kedudukan pada minit ke-10 menerusi Hadi Azhan tetapi Syauki Puad kembali meletakkan Selangor dihadapan tidak sampai seminit gol Perak itu terhasil.

Skuad kendalian Qusmaini Noor Rusli itu menggandakan jaringan ketika aksi memasuki minit ke-12 menerusi Ahmed Haziq Haikal Rashidi.

Amirul Hamdan mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-13 hasil sepakan penalti kedua (Second Spot) yang berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Addin Naufal Rahmad.

Ketika aksi babak pertama hanya berbaki seminit untuk ditamatkan, Zulkifli Abu Hassan Zali menguis masuk dengan mudah bola hasil lorongan Syahir Iqbal berpunca daripada situasi sepakan percuma.

Memasuki babak kedua, Selangor tertekan dengan dua jaringan yang dihasilkan oleh Matias Danisan dan Arif Akmar yang menyebabkan kedudukan kembali terikat.

Barisan pemain Selangor bagaimanapun kental menyerap tekanan tersebut untuk menambah empat lagi jaringan dimana Haziq Haikal meledakkan tiga lagi gol manakala Zulkifli dengan tambahan satu gol lagi.

Dua gol dari Hadi Azhan dan Amirul Hamdan pada lewat permainan masih belum cukup untuk menghalang kemenangan 8-6 buat Selangor.

Sementara itu, Johor terus dirundung malang apabila tewas kepada Pahang 0-3 sekali gus berdepan ranjau berduri untuk mengintai peluang ke suku akhir.

Secara matematiknya, mereka perlu mengharapkan Pahang tewas pada baki dua perlawanan iaitu menentang Selangor dan Perak manakala mereka perlu menewaskan Sarawak dengan jumlah jaringan yang besar.

Sementara itu dalam kumpulan A, Terengganu mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu selepas menundukkan Melaka 2-1.

Wilayah Persekutuan pula meraih kemenangan di saat akhir apabila menewaskan Sabah 7-6 dalam aksi yang cukup mendebarkan.