Terengganu meraih kemenangan kedua saingan kumpulan A acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menundukkan Sabah 3-2 pada aksi yang berlangsung pagi tadi.
Kemenangan dilakarkan naib juara edisi 2018 di Perak itu bagaimanapun hadir dengan penuh mendebarkan apabila mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memburu tiga mata penuh.
Baca Juga:
- Futsal SUKMA 2024: Selangor Atasi Johor Pada Aksi Pembukaan
- Faisal Halim Suntik Semangat Skuad Futsal SUKMA Selangor
- Skuad Futsal Kelantan Muncul Juara MPFL Divisyen 2 2024
Sabah yang tumbang kepada Melaka dalam aksi sulung semalam membuka tirai jaringan menerusi Taufiq Ahmad pada minit kelapan permainan.
Kedudukan berubah ketika aksi memasuki minit ke-20 apabila Hassanal Charles menyudahkan peluang terhidang untuk melebarkan kedudukan buat Sabah.
Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan Terengganu yang tampil cemerlang pada babak kedua untuk mendapatkan tiga jaringan sumbangan gol sendiri Adzry Albaser (minit ke-24), Faris Mahadi (minit ke-29) dan Ikhwan Abdullah (minit ke-34).
Kemenangan itu meletakkan Terengganu di tangga teratas kumpulan A meninggalkan pasukan tempat kedua, Pulau Pinang yang mengumpul empat mata selepas menundukkan Wilayah Persekutuan 2-1.
Sementara itu dalam kumpulan B, Perak mencipta kejutan selepas menundukkan pasukan pilihan juara, Johor 4-3.
Johor yang tewas kepada Selangor semalam berjaya mendahului seawal minit kelima menerusi pemain lincah, Muhammad Adham.
Skuad Harimau Selatan itu mendapat beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka.
Kesempatan itu diambil Perak untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-12 sumbangan jaringan Shameer Azril. Lima minit kemudian, Syahid Ajid kembali meletakkan Johor dihadapan hingga tamat babak pertama.
Meskipun berdepan asakan hebat lawan, Perak yang dibimbing legenda futsal negara, Ali Mahat memanfaatkan peluang terhidang untuk mendapatkan tiga jaringan menerusi Matias Danisan, Syaufi Ramlie dan Amirul Hamdan.
Johor cuba bangkit hasil jaringan Rusyazwi Rodzi pada lewat aksi tetapi ia belum cukup untuk menghalang kemenangan berharga buat Perak.
Perak kini menjadi pendahulu kumpulan B dengan empat mata diraih, satu mata meninggalkan Selangor yang masih kekurangan satu perlawanan.