Para pemain skuad futsal SUKMA Selangor mendapat suntikan semangat menjelang sepak mula saingan pada 13 Ogos ini apabila bertemu dengan bintang bola sepak, Muhammad Faisal Abdul Halim.
Sesi yang diadakan di Pusat Latihan Selangor FC selama lebih kurang 30 minit itu telah memberikan ruang buat para pemain muda tersebut untuk beramah mesra dengan Faisal.
Baca Juga:
- SUKMA 2024: Skuad Futsal Selangor Sasar Raih Pingat Emas
- Futsal SUKMA 2024: Selangor, Johor & Sarawak Diundi Satu Kumpulan
- Rita Rudaini Sokong Anak Jadi Pemain Bola Sepak Yang Pandai
Malah dalam pertemuan eksklusif tersebut, Faisal turut berkesempatan memberikan kata-kata semangat serta nasihat berguna kepada anak-anak buah Qusmaini Noor Rusli itu.
“Dalam aspek sukan ini kita perlu ada disiplin, disiplin yang sangat tinggi, bukan mudah sebenarnya untuk berjaya dan tak mudah juga untuk jatuh.’’
“Semua orang boleh bersukan tetapi untuk menjadi yang terbaik itu tak ramai. Macam hari ini di depan saya ada wakil futsal Selangor, di Selangor ini ramai yang boleh main futsal tetapi yang terpilih ini adalah yang terbaik.’’
“Bukan sekadar sarung jersi Selangor untuk pergi ke Sarawak dan buang masa balik tanpa apa-apa kejayaan. Menang kalah nombor dua tetapi cara kita bertanding adalah penting bagi saya.’’
“Sebelum kita minta apa-apa dengan pihak pengurusan, kita tengok diri kita apa yang kita bagi ini cukup tak dengan apa yang kita bagi dan yang kita nak,’’ ujar Faisal Halim memberikan nasihatnya.
Selepas tiga bulan yang penuh penderitaan, Faisal bangkit dengan cukup hebat sehingga sudah mampu untuk menjalani latihan dan berkemungkinan akan turun beraksi selepas ini.
Skuad Futsal Selangor akan berlepas ke Kuching pada pagi esok dalam usaha memburu emas sulung acara tersebut.
Pencapaian terbaik Selangor selepas tiga edisi Sukma (2011, 2013 dan 2018) adalah berada di kedudukan keempat pada 2011.
Skuad Futsal SUKMA Selangor akan memulakan kempen bertemu Johor pada 13 Ogos dan kemudiannya menanti cabaran Perak (15 Ogos), Pahang (16 Ogos) dan aksi terakhir bertemu tuan rumah, Sarawak (17 Ogos).