Adik kepada ‘orang besi’ yang pernah mengegarkan Liga Malaysia, Dickson Nwakaeme iaitu Anthony Nwakaemi dikatakan bakal memperkuatkan jentera serangan Sri Pahang musim ini.
Dickson cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana memiliki kemampuan fizikal dan skill individunya namun kehadiran adiknya lebih menarik perhatian.
Baca Juga:
- 55 Peratus Rakyat Malaysia Didapati Tak Mampu Simpan Duit, Bergantung Pada Gaji Bulanan Sepenuhnya
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Kes ‘Scam’ Salah Bank Atau Diri Sendiri? Ini Cara Untuk Elak Jadi Mangsa Yang Seterusnya
Pemain yang berusia 35 tahun itu memiliki reputasi yang hebat di eropah apabila pernah menjuarai Liga Turki 2021/22 bersama Trabzonspor dan juga Liga Israel selama tiga musim berturut-turut.
Beliau juga merupakan antara penjaring terbanyak Liga Arab Saudi musim lepas.
Khabar angin mengenai kemasukan Anthony ke skuad tok gajah timbul apabila Dickson menyatakan beliau dalam proses untuk membawa adiknya ke Pahang menerusi kenyataan di laman Instagram.
“Bersama adik saya, kami akan membawa TN9 ke Pahang,” tulisnya di ruang kapsyen dengan gambar Anthony bersama seorang individu dipercayai anak kepada pemilik Sri Pahang.
Berdasarkan Transfermarkt, kontrak Anthony bersama kelabnya dari Arab Saudi, Al Fayha akan tamat pada 30 Jun 2024 dan memiliki nilai pasaran sebanyak 2 juta euro.
Andai perpindahan ke Sri Pahang menjadi kenyataan, Anthony bakal menjadi pemain ketiga termahal Liga Malaysia selepas dua pemain import JDT, Jalil Elias (3 juta euro) dan Chico Geraldes (2.5 juta euro).
Angka itu mungkin di luar kemampuan Sri Pahang namun tidak mustahil beliau sempat didaftarkan sebagai pemain baharu sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2024-2025 iaitu 3 Mei 2024.
Bagaimanapun, setakat ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan tiada sebarang perubahan sama ada menambah pemain baharu dan mereka masih kekal dengan kuota enam import.