Pihak AEON Bank telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberikan pencerahan berhubung isu ada sebahagian pelanggannya mempunyai jumlah baki akaun dengan kadar yang sangat luar biasa.

Pihak bank mengesahkan bahawa insiden berkenaan berpunca daripada isu paparan teknikal semasa pelaksanaan promosi terbaru mereka.

“Pada pagi 14 Oktober 2026, insiden berkaitan satu promosi menyebabkan ralat paparan baki akaun bagi sebahagian pelanggan. Pasukan kami berjaya menangani isu tersebut dengan segera dan semua baki akaun kini dipaparkan dengan tepat,” jelas kenyataan tersebut.

Pihak AEON Bank turut memberi jaminan kepada semua pemegang akaun mengenai tahap keselamatan sistem digital mereka.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa akaun dan informasi anda kekal selamat dan tidak terjejas. AEON Bank terus komited dalam memastikan pengalaman perbankan digital yang lancar, selamat dan terjamin untuk semua pelanggan,” petik kenyataan rasmi.

Terdahulu, seorang pelanggan bank digital AEON Bank berdepan detik cemas dan mengejutkan apabila mendapati baki akaun bank berkenaan tiba-tiba melonjak kepada lebih RM1 bilion berikutan ralat transaksi pada pagi Rabu lalu.

Sumber